Lompatan emas Romly lengkap misi Malaysia


  • Podium
  • Sabtu, 04 Sep 2021

ABDUL Latif menghadiahkan emas ketiga Malaysia menerusi acara lompat jauh. — Bernama

JAGUH lompat jauh paralimpik negara, Abdul Latif Romly menepati ramalan apabila berjaya mempertahankan pingat emas lompat jauh T20 Sukan Paralimpik Tokyo 2020.

Turun ke gelanggang selaku juara bertahan, atlet 24 tahun dari Perlis itu nyata terlalu unggul dan jarak 7.45 meter yang dilakukan pada percubaan kedua sudah memadai buatnya menghadiahkan emas ketiga Malaysia.

Walaupun gagal untuk memecahkan rekod 7.64 meter yang dilakukannya pada di Rio, Brazil pada 2016, emas yang diraih itu jelas menceriakan kem olahraga negara selepas dua lagi atlet sandaran, Mohd Ridzuan Puzi dan Ziyad Zolkefli gagal mengulangi kejayaan empat tahun lalu.

Walaupun tidak melakukan lompatan keenam ekoran kecederaan pangkal paha, catatan dilakukannya jelas sukar digugat oleh mana-mana pencabar.

Pingat perak acara itu dimenangi atlet Greece, Athanasios Prodromou dengan catatan 7.17m manakala Nicholas Hum meraih gangsa dengan 7.12m.

Kontinjen Malaysia sebelum ini sudah meraih dua emas menerusi jaguh powerlifting, Bonnie Bunyau Gustin dan pemain badminton para bagi kategori SU5, Cheah Liek Hou. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram

paralimpik, emas, Abdul Latif Romly