JURULATIH Abdul Latif Romly, Shahrul Amri Suhaimi percaya anak didiknya itu mampu bertanding dalam kategori normal.
Shahrul memberitahu, sekiranya jaguh olahraga para kebangsaan itu mahu berbuat demikian pada masa depan, beliau akan terus menyokong atlet berkenaan.
"Abdul Latif tiada masalah untuk bertanding dalam kategori normal, beliau juga pernah bersaing dalam Sukan Malaysia (Sukma) serta Sukan SEA 2017 di Kuala Lumpur.
"Jika itu kemahuannya, kami tak akan halang, malah akan beri sokongan terbaik untuk dia,” katanya dalam sidang media secara online pada Ahad.
Jurulatih berusia 38 tahun itu akan merangka pelan baharu bagi menentukan masa depan atlet Perlis itu, selepas anak buahnya itu pulih daripada kecederaan kaki dialaminya pada aksi malam Sabtu.
Pada Sabtu, Abdul Latif berjaya mempertahankan emas edisi Rio 2016 apabila lompatan pertamanya, 7.26 meter (m) sudah cukup mengesahkan emas ketiga Malaysia di Sukan Paralimpik Tokyo.
Abdul Latif seterusnya meninggalkan jauh pencabar lain dengan lompatan 7.45m pada percubaan keduanya, yang merupakan lompatan terbaiknya dalam penampilan keduanya di pentas Paralimpik.
Atlet berusia 24 tahun itu, yang juga merupakan pemegang rekod Paralimpik dengan lompatan 7.60 di Rio 2016, itu kemudian dihimpit kecederaan selepas mencatat 5.56m pada lompatan kelimanya.
Situasi itu menyebabkan beliau tidak dapat meneruskan aksinya dan terpaksa diusung dengan kerusi roda oleh pegawai perubatan untuk menerima rawatan lanjut, namun emas tetap memihak kepada Malaysia.
Athanasios Prodromou dari Greece merangkul perak menerusi lompatan terbaik, 7.17m manakala lompatan sejauh 7.12m membantu atlet Australia, Nicholas Hum untuk membawa pulang gangsa.
Sementara itu, Shahrul Amri juga akan berbincang bersama Majlis Sukan Negara bagi mencari pelapis kepada Abdul Latif mahupun bakat baharu bagi kategori lain menjelang Paris 2024 nanti.
"Sebelum ini kami ada seorang pelapis kepada Abdul Latif, dia juga pernah membuat catatan peribadi terbaik 7.72m, namun prestasinya ketika pertandingan tidak konsisten,” tambahnya. — Bernama
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram