'Janganlah menyalahkan negara lain'


  • Podium
  • Khamis, 02 Sep 2021

ZIYAD memecahkan rekod dunia dalam acara lontar peluru F20 dengan lontaran sejauh 17.94 meter sebelum kemenangannya dibatalkan. — AFP

KETUA Kontinjen Malaysia (CDM), Datuk Seri Megat D Shahriman Zaharudin mahu netizen Malaysia berhenti mengecam kontinjen Ukraine bagi mengelak daripada memberi imej buruk negara di mata orang luar.

Beliau menasihatkan netizen supaya kekal tenang dan terus memberi sokongan kepada atlet negara yang akan bertanding di Sukan Paralimpik Tokyo 2020.

”Kita semua orang yang penuh dengan adab dan mempunyai rasa hormat yang tinggi kepada orang lain, tunjuklah contoh yang baik.

"Janganlah menyalahkan negara lain, sebaliknya kita cuba perbaiki diri untuk menjadi manusia yang lebih baik. Saya faham rakyat Malaysia ada yang geram dengan keputusan itu tapi apa yang paling penting kita harus melangkah ke depan” katanya.

Beliau mengulas tentang tindakan netizen Malaysia yang menyerang laman sosial atlet Ukraine serta Jawatankuasa Paralimpik Ukraine kerana berang dengan pembatalan pingat emas yang diraih atlet negara, Muhammad Ziyad Zolkefli.

Ziyad berjaya memecahkan rekod dunia dalam acara lontar peluru F20 dengan lontaran sejauh 17.94 meter di Stadium Olimpik, Tokyo pada Selasa sebelum kemenangannya dibatalkan oleh penganjur.

Dia diklasifikasikan sebagai Did Not Start (DNS) atau tidak memulakan saingan susulan protes dilakukan terhadapnya oleh pasukan Ukraine yang mendakwa Ziyad serta dua atlet lain, Todd Hodgets dari Australia dan Jordi Patricio Congo Villalba dari Ecuador lewat melapor diri di bilik menunggu sebelum pertandingan berlangsung.

Pingat emas kemudian diberikan kepada atlet Ukraine, Maksym Koval yang mencatatkan lontaran sejauh 17.34m, sekali gus memecahkan rekod dunia milik Ziyad iaitu 17.29 m yang dilakukan di Kejohanan Olahraga Para Dunia 2017 di London.

Mengulas lanjut, Megat D Shahriman menghormati tindakan Ukraine kerana mereka mempunyai hak untuk membuat protes berhubung keputusan acara lontar peluru itu, seperti dibenarkan dalam peraturan pertandingan sukan.

Beliau juga merayu semua rakyat Malaysia agar melupakan insiden berkenaan dan kembali fokus serta bersatu memberi sokongan kepada perjuangan atlet negara dalam misi mereka mencapai sasaran membawa pulang tiga emas dari Jepun.

Cabaran Malaysia kini terletak kepada tiga atlet dari olahraga termasuk dua pemenang emas Rio 2016 iaitu Mohamad Ridzuan Mohamad Puzi dan Abdul Latif Romly selain Wong Kar Gee, diikuti S. Suresh (memanah), Cheah Liek Hou (badminton) dan Brenda Anellia Larry (renang). — Bernama

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram