PASTI ramai rakyat Malaysia kecewa apabila pingat emas yang sepatutnya diraih atlet lontar peluru paralimpik negara, Ziyad Zolkefli ditarik semula pada Selasa.
Cuma, tindakan segelintir netizen yang mengecam atlet Ukraine, Maksym Koval dilihat lebih memalukan sehingga menjadi tular di media sosial.
Meskipun Koval telah membuat permohonan maaf menerusi laman Instagram peribadinya, masih ada segelintir netizen Malaysia yang menyerang dengan atlet paralimpik Ukraine itu dengan pelbagai kata-kata kesat.
Antara cemuhan-cemuhan yang dikeluarkan oleh netizen di Instagram termasuk menuduh Koval mencuri pingat emas dari Malaysia, malah ada juga yang turut menghina tubuh fizikal atlet Orang Kelainan Upaya (OKU) itu.
Malu dengan sikap segelintir rakyat Malaysia yang kurang matang dan tidak beradab itu, pengguna Adamm_Flint tidak menunggu lama menegur perkara itu.
“Bila orang cakap orang Malaysia tiada adab kau orang marah. Tapi tengoklah sendiri mana adab kau orang sebagai orang Malaysia yang beragama Islam pula tu. Tak malu ke hina fizikal orang?”
Antara komen-komen netizen di Instagram Koval.
Turut menegur perkara sama, seorang lagi pengguna Alinbaharudin berkata, rakyat Malaysia seharusnya menghentikan budaya mencerca itu.
Katanya, budaya Malaysia penuh dengan adab dan sopan santun.
“Kau orang proud (bangga) sangat ke dengan title cyber bullying (gelaran pembuli siber) ni? Nampak kau orang yang koyak lebih,” katanya.
Sebagai rakyat Malaysia, Alin turut meminta maaf dan mengajak Koval untuk bertanding pada sukan paralimpik akan datang.
Selain itu, Qhairatulnajwa berkata, sikap netizen Malaysia sememangnya memalukan dan atlet-atlet Malaysia juga malu dengan sikap mereka yang sering mengecam orang lain.
“Maki-maki orang. Dia orang tu OKU (Orang Kelainan Upaya). Silap-silap nanti kalau Malaysia perlukan bantuan apa-apa dari negara-negara luar, dia orang pun tidak mahu tolong. Sebab apa? Sebab Malaysia ni pembuli siber,” katanya kesal.
Woshiziq pula menulis, individu beragama Islam sepatutnya menjaga mulut dan tiada apa-apa yang diperoleh melalui makian selain hanya mendapat dosa.
Beliau turut menegah netizen daripada menghina tubuh badan atlet Ukraine berkenaan kerana ia adalah ciptaan ALLAH SWT.
“Inilah sebab Malaysia tak maju lagi kita punya netizen teruk sangat. Berhentilah dengan #ukrainekoyak itu. Malaysia ni negaranya kecil sahaja. Ukraine tu kalau mereka nak boleh je balas balik,” katanya.
“Guys, please jadi matang sikit. Tak ada faedah kita maki dia. Dapat dosa ada lah. So guys, please stop. Aku faham kau orang semua tak puas hati tapi nak buat macam mana bukan rezeki untuk rakyat Malaysia. Benda dah jadi. Kalau Allah nak takdirkan sesuatu terjadi, maka jadilah ia. So guys, be positive,” tulis jaws_faiz. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram