EKSKLUSIF

Griezmann teraju utama atau pemain simpanan?


  • Podium
  • Sabtu, 04 Sep 2021

GRIEZMANN menjalani latihan bersama pasukan kebangsaan Perancis menjelang aksi kelayakan Piala Dunia 2022 pada Khamis lalu. — AFP

KEPULANGAN pemain Perancis, Antoine Griezmann ke Atletico Madrid ketika hari terakhir jendela perpindahan baru-baru ini mencetuskan kejutan dan tanda tanya.

Ramai pemerhati bola sepak menantikan impak yang bakal diberikan oleh Griezmann di Atletico pada musim ini, tambahan pula kelab berkenaan sudah memiliki Luis Suarez sebagai penyerang utama di samping Joao Felix.

Tidak dilupakan, pemain seperti Angel Correa yang meledak dua gol dalam tiga perlawanan liga ketika ini turut tidak boleh dipandang sebelah mata.

Adakah kepulangan Griezmann akan menafikan peluang untuk Correa bermain? Atau adakah Griezmann hanya akan masuk sebagai pemain simpanan memandangkan prestasi Correa yang baik ketika ini?

Namun, ada pandangan mengatakan perpindahan Griezmann secara pinjaman merupakan satu langkah yang terancang oleh pengurus Atletico, Diego Simeone.

Lebih-lebih lagi, Simeone menguruskan kelab tersebut kira-kira 10 tahun dan beliau mengambil kira segala aspek dalam menguatkan lagi pasukan itu.

Gagal di Barcelona?

Sepanjang kariernya di Barcelona, Griezmann hanya mampu mencetak 35 gol dan 14 bantuan hantaran dalam 102 penampilan bersama pasukan itu sejak 2019.

Bagi seorang pemain berkualiti seperti Griezmann, rekod setiap musimnya bersama Barcelona bukan sesuatu yang boleh dibanggakan.

Ketika dia bermain buat kali pertama di Atletico pada 2014 hingga 2019, Griezmann mampu mencatatkan jaringan sebanyak dua digit setiap musim sepanjang enam tahun di sana.

Namun pada musim pertamanya di Barcelona, Griezmann hanya merekodkan sembilan jaringan dan empat bantuan hantaran.

Bagi seorang pemain yang dibeli dengan harga 120 juta euro (RM591.3 juta), statistik itu nyata tidak menggembirakan para peminat dan barisan kejurulatihan kelab berkenaan.

Apatah lagi, Griezmann dibayar gaji sebanyak 650,000 euro (RM3.2 juta) seminggu sebelum cukai.

Pemergian Griezmann juga mengurangkan kos pembayaran gaji kelab itu yang mengalami krisis kewangan akibat pandemik Covid-19.

Malahan kelab terbabit terpaksa melepaskan Lionel Messi secara percuma ke Paris Saint-Germain (PSG) ekoran masalah tersebut.

Selain itu, perpindahan Griezmann turut disambut gembira oleh sebilangan pemain Barcelona.

Memetik laporan Diario Sport, Griezmann pernah menyatakan niat untuk kekal di Atletico selepas didekati oleh Barcelona pada 2018.

Malahan, dia pernah mengeluarkan dokumentari khas berjudul The Decision, yang memaparkan kenyataan setia Griezmann kepada Atletico.

Situasi itu bukan sahaja membuatkan suasana di bilik persalinan The Catalans tidak harmoni, bahkan para penyokong juga merasakan Griezmann bukanlah seorang pemain yang setia dan bersedia mengkhianati Barcelona jika mempunyai peluang. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram