PERSATUAN Bola Sepak Malaysia (FAM) perlu lebih memperkasakan ekosistem bola sepak memastikan kelangsungan sukan itu sebagai satu industri.
Ia dilihat bertepatan dengan status FAM sebagai badan pentadbir bola sepak tempatan yang memiliki pengaruh cukup luas.
Menteri Belia dan Sukan, Dato’ Seri Ahmad Faizal Azumu berkata, selain kemajuan bola sepak elit sedia ada, aspek pembangunan juga tidak boleh dipinggirkan.
Menerusi ucapannya ketika melakukan kunjungan ke Wisma FAM, Kelana Jaya pada Khamis, Ahmad Faizal berkata, langkah memperkasakan saingan akar umbi sebagai satu cara menjana ekonomi yang boleh menyumbang semula kepada kelestarian industri bola sepak.
"Dalam mana-mana isi rumah, penduduknya sama ada bermain atau menjadi pengikut sukan bola sepak.
“Saya menggesa agar FAM bekerjasama dengan semua pemegang taruh agar membudayakan bola sepak sebagai sukan rakyat dan dimainkan oleh semua lapisan masyarakat.
“Saya juga menyarankan agar FAM melihat saingan liga di peringkat akar umbi yang boleh membantu menjana pendapatan dan juga membuka ruang pekerjaan buat bekas pemain,” katanya.
Selaras dengan saranan dibuat Ahmad Faizal, Presiden FAM, Datuk Hamidin Mohd Amin turut mengambil kesempatan untuk menjelaskan perancangan, visi dan misi menerusi Peta Hala Tuju F:30.
Selain itu, aspek kerjasama dua hala dalam Program Pembangunan Bola Sepak Negara (PPBN), projek pembinaan pusat latihan kebangsaan (NTC) dan perancangan ibu pejabat baharu FAM di Putrajaya juga dibincangkan.
"Selain membincangkan hala tuju PPBN, kami juga membincangkan projek NTC dan beberapa aspek pembangunan bola sepak tempatan," kata Hamidin. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram