'Dek Wan percaya boleh lari lebih laju, nak menang emas'


  • Podium
  • Sabtu, 04 Sep 2021

MOHAMAD Ridzuan Mohamad Puzi berjaya mencatat masa 12.06 saat pada saringan kedua dalam pusingan pertama sebelum mara ke pusingan akhir.. — Bernama

MENEPATI ramalan ramai, apabila atlet olahraga Mohamad Ridzuan Mohamad Puzi berjaya melayakkan diri ke peringkat akhir acara 100 meter lelaki T36 di Sukan Paralimpik hari ini.

Mohamad Ridzuan yang lebih dikenali dengan 'Dek Wan' mencatatkan masa 12.06 saat (s) pada saringan kedua dalam pusingan pertama yang berlangsung di Stadium Olimpik.

Pelari berusia 33 tahun itu percaya mampu berlari lebih pantas dan akan berusaha untuk mempertahankan pingat emasnya esok.

“Ya, Dek Wan percaya boleh lari lebih laju dan nak menang emas esok,” katanya.

Pencabar terdekatnya, Yang Yifei dari China menamatkan lariannya dengan merekodkan masa 12.10s manakala pelari Jawatankuasa Paralimpik Rusia, Evgenii Shvetsov di kedudukan ketiga dengan masa 12.26s.

Mohamad Ridzuan menduduki tempat keempat secara keseluruhan dalam senarai lapan pelumba daripada kedua-dua saringan, yang layak ke final.

James Turner dari Australia mencuri tumpuan apabila bukan sahaja muncul pelari terpantas, malah beliau turut memecahkan rekod Paralimpik milik Mohamad Ridzuan di Rio 2016 iaitu 12.07s, dengan catatan baharu 11.87s.

James juga merupakan pemegang rekod dunia dengan catatan 11.72s dalam Kejohanan Dunia di Dubai, Emiriah Arab Bersatu pada 2019.

Aksi final akan berlangsung pagi esok, kira-kira 10.38 pagi (9.38 pagi waktu Malaysia).

Selain Mohad Ridzuan, dua lagi atlet menjadi sandaran negara iaitu bdul Latif Romly dalam acara lompat jauh T20 (kecacatan intelektual) serta juara dunia badminton enam kali, Cheah Liek Hou.

Ketiga-tiga altlet itu berpotensi untuk menyumbang sekurang-kurangnya dua emas lagi bagi melengkapkan sasaran tiga emas yang diletakkan sebelum ini.

Malaysia sudah meraih emas pertama menerusi jaguh powerlifting, Bonnie Bunyau Gustin dalam acara lelaki 72 kilogram (kg) Sabtu lepas manakala rakan sepasukannya, Jong Yee Khie merangkul perak bagi acara 107kg Isnin lepas.

Pada Rabu, atlet boccia Chew Wei Lun memenangi perak kedua Malaysia selepas tewas 2-4 kepada juara bertahan dari Great Britain, David Smith dalam acara individu campuran BC1 (kecacatan fizikal). — Bernama

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram