Tolong pertimbangkan ganjaran buat Ziyad - Chef de Mission


  • Podium
  • Rabu, 01 Sep 2021

TANDA tanya mengenai status pingat emas Ziyad hanya boleh diketahui selepas temasya Paralimpik Tokyo 2020 berakhir. — Bernama

CHEF de Mission (CDM) Paralimpik Tokyo 2020, Datuk Seri Megat D Shahriman Zaharudin memohon pertimbangan pihak kerajaan agar dapat memberikan ganjaran kepada jaguh lontar peluru paralimpik negara, Ziyad Zolkefli.

Megat D Shahriman dalam kenyatannya berkata, walaupun ketika ini tiada kalungan pingat emas mampu diraih Ziyad, penghargaan adalah menjadi satu kewajaran selepas usaha yang ditunjukkan oleh Ziyad pada pertandingan kali ini.

“Dalam masa sama, saya juga memohon pertimbangan kerajaan agar dapat memberikan ganjaran sewajarnya ataupun yang bersesuaian di atas jasa dan pencapaian luar biasa Ziyad di Paralimpik Tokyo 2020 bagi menghargai pengorbanannya selama ini.

“Bagi pihak kontinjen negara, saya memohon maaf kepada seluruh rakyat Malaysia di atas isu yang terjadi,” katanya yang juga Presiden Majlis Paralimpik Malaysia (MPM).

Terdahulu, kegembiraan rakyat Malaysia pada Hari Kemerdekaan ke-64 sedikit terkesan selepas kemenangan Ziyad dibatalkan apabila kem Ukraine melakukan bantahan kerana mengatakan wakil negara itu lewat tiba di Call Rooms.

Pembatalan penyertaan Ziyad dibuat mengikut peraturan pertandingan World Para Athletic di para 5 (Failure Tp Report To The Call Rooms) yang mana atlet tersebut boleh dihalang menyertai pertandingan kerana kelewatan melaporkan diri atau pun dibenarkan menyertai pertandingan tertakluk kepada keputusan Call Room Referee.

Sekiranya kesalahan tersebut terbukti dilakukan, maka keputusan atlet tersebut dicatat sebagai DNS (Did Not Start).

Mengulas lanjut, jelas Megat D Shahriman, ketika ini usaha untuk mempertahankan kemenangan Ziyad hanya boleh dibuat secara bertulis kepada Jawatankuasa Paralimpik Antarabangsa (IPC) dan World Para Athletic selepas berakhirnya temasya Paralimpik Tokyo.

“Untuk pengetahuan semua, pada Mesyuarat CDM pagi tadi sebagai usaha tambahan saya sudah menerangkan situasi yang berlaku kepada Ziyad di hadapan Jawatankuasa Penganjur dan ketua kontinjen negara bertanding sebagai mempertahankan kemenangan itu.

“Namun, pihak Jawatankuasa Penganjur memaklumkan segala protes dan rayuan boleh dibuat secara bertulis kepada IPC dan World Para Athletic.

“Bagaimanapun, kami di MPM masih belum berputus asa dan akan memanjangkan isu ini ke IPC dan World Para Athletic sejurus berakhir temasya Paralimpik Tokyo. Ini kerana tindakan itu hanya boleh dilakukan selepas berakhirnya temasya Paralimpik Tokyo 2020,” kata Megat D Shahriman.

Beliau memberitahu, pihaknya sedang berusaha untuk mendapatkan salinan rakaman CCTV di bilik panggilan call room dan kawasan menunggu di Stadium Olimpik Tokyo untuk mendapatkan gambaran dan masa sebenar insiden sebagai bahan bukti untuk meneruskan tindakan selanjutnya.

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram

ziyad, Megat D Shahriman, paralimpik, ukraine,