'Bukan salah kontinjen Ukraine'


  • Tular
  • Rabu, 01 Sep 2021

KRONOLOGI kejadian berhubung bantahan pingat emas Mohd Ziyad yang dikemukakan Ukraine. — Facebook/Tentera Troll Kebangsaan Malaysia

KONTINJEN Ukraine didakwa tidak bersalah berhubung bantahan pkontroversi ingat emas atlet lontar peluru paralimpik negara, Mohd Ziyad Zolkifli yang hangat bagaikan pisang goreng panas di media sosial ketika ini.

Meskipun ruangan komen Facebook rasmi kedutaan negara itu dilihat sampaikan terpaksa ditutup apabila diserang tentera bawang netizen negara yang kecewa dengan insiden itu sejak semalam, ada juga dalam kalangan netizen menegaskan bahawa ia bukan kesalahan kontinjen Ukraine yang membuat bantahan sehingga menyebabkan pingat emas Mohd Ziyad ditarik semula.

Sebaliknya, netizen menyifatkan situasi itu berlaku disebabkan oleh penganjur dan pegawai pengiring yang tidak cekap.

Perkara itu dikongsi pemilik akaun laman sosial Facebook Khairul Nizam Rahmat dalam muat naik status Tentera Troll Kebangsaan Malaysia (TTKM) tentang maklumat terkini dari kontinjen Malaysia di Tokyo.

Dalam status berkenaan, TTKM menghuraikan kronologi kejadian berhubung bantahan pingat emas Mohd Ziyad yang dilakukan oleh Ukraine.

Khairul Nizam menyatakan bahawa bantahan yang dilakukan Ukraine merupakan hak mereka.

Jelasnya lagi, kesalahan harus diletakkan kepada pegawai pengiring dan penganjur.

"Sebelumnya dalam hal ini, Ukraine tidak salah pun...itu hak mereka untuk buat bantahan..yang jadi persoalan kenapa Ziyad lambat? Dalam hal ni, saya letakkan kesalahan kepada pegawai pengiring.

"Penganjur juga harus dipertanggungjawabkan atas hal yang berlaku ni...kalau betul Ziyad dan dua atlet lain tu dah langgar peraturan, mereka sepatutnya disqualified dari awal lagi dan tidak dibenarkan bertanding," tulisnya.

ANTARA komen netizen di Facebook yang mempertahankan tindakan Ukraine membantah kemenangan Ziyad.

Seorang lagi pemilik akaun, Mann Hyde turut bersetuju dengan komen berkenaan.

Dia turut mempersoalkan kenapa atlet berkenaan boleh lewat untuk ke acara tersebut.

"Jangan salahkan Ukraine sebab buat bantahan sebab rules is rules and memang Ziyad lambat walaupun satu minit.

"Persoalannya macam mana dia boleh lambat sedangkan atlet lain ada yang on time.

Mana pegawai yang sepatutnya jaga Ziyad nama pun Paralimpik so maknanya Ziyad tu bukan macam atlet normal kena ada yang jaga dan ingatkan dia," kongsinya.

Rata-rata pengguna lain turut bersetuju dengan pendapat yang dilontarkan kedua pengguna berkenaan dan bersetuju bahawa Ukraine tidak bersalah dalam hal ini.

Terdahulu, kemenangan Mohd Ziyad dalam acara lontar peluru Shot Put F 20 dibatalkan selepas atlet Ukraine membantah keputusan itu.

Keputusan itu dibuat oleh pengadil pertandingan ekoran Mohd Ziyad dan dua atlet dari Ecuador dan Australia telah lewat melaporkan diri dan ini adalah bertentangan dengan Peraturan Pertandingan Olahraga World Para Athletic.

Keputusan pertandingan bagi Ziyad dan atlet dari Ecuador dan Australia telah diputuskan sebagai DNS (Did Not Start).

Kontinjen dari ketiga-tiga negara telah mengemukakan rayuan tetapi ditolak oleh Juri Rayuan Para Olahraga World Para Athletics (WPA).— Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram

Paralimpik, Ziyad, Ukraine, bantah