Emas Ziyad ditarik, rakyat Indonesia turut tidak berpuas hati


  • Tular
  • Rabu, 01 Sep 2021

KEMENANGAN Ziyad dibatalkan setelah berjaya memecahkan rekod dunia acara lontar peluru F20 di Sukan Paralimpik Tokyo 2020. — AP

'ROMPAKAN' yang dilakukan terhadap pingat emas atlet lontar peluru para negara, Muhammad Ziyad Zolkefli memberi kesan yang besar terhadap rakyat Malaysia yang menyifatkan keputusan tersebut sebagai tidak adil.

Namun, bukan rakyat Malaysia saja yang merasakan tidakan tersebut sebagai satu ketidakadilan buat Ziyad, bahkan rakyat negara jiran, Indonesia juga turut tidak berpuas hati terhadap keputusan pihak penganjur.

Seorang pengguna Twitter, Bayu Arisandy meluahkan ketidakpuasan hatinya terhadap keputusan itu atas semangat negara ASEAN.

“Ingat nama beliau, Muhammad Ziyad Zolkefli dari Malaysia, memecahkan rekod dunia acara lontar peluru lelaki F20 #Paralimpik dan memenangi pingat emas. Tiada yang lain bahkan bukan Ukraine.

“Dan hari ini ialah Hari Kemerdekaan Malaysia, Selamat Hari Kemerdekaan Malaysia yang ke-64. Dengan atau tanpa pingat emas, Malaysia tetap merayakan kemerdekaan.

“Tapi akan jauh lebih sempurna kalau Gold Medal dari Ziyad tetap milik Ziyad & Malaysia,” tulisnya dalam satu ciapan yang tular pada Selasa.

Ciapan oleh seorang rakyat Indonesia yang menyokong Ziyad.

Bayu turut mempersoalkan tindakan penganjur yang membatalkan pingat emas milik Ziyad hanya selepas atlet berusia 31 tahun itu disahkan sebagai pemenang.

“Seharusnya kalau memang dia terlambat masuk call room yah didiskualifikasi saja, kenapa setelah main dan BROKE NEW WORLD RECORD baru protes?” soalnya.

Ciapannya itu mendapat banyak reaksi daripada netizen Malaysia yang berterima kasih dan terharu dengan sokongan yang diberikan kepada Ziyad.

Untuk rekod, Ziyad berjaya memecahkan rekod dunia dalam acara lontar peluru F20 di Sukan Paralimpik Tokyo 2020 dengan lontaran sejauh 17.94 meter di Stadium Olimpik, Tokyo pada Selasa sebelum kemenangannya dibatalkan setelah protes daripada kem Ukraine.— Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram