Ziyad mohon maaf kepada rakyat Malaysia


  • Podium
  • Rabu, 01 Sep 2021

Ziyad berjaya memecahkan rekod dunia dengan lontaran sejauh 17.94 meter sebelum penyertaannya dibatalkan. — Bernama

ATLET lontar peluru para negara, Muhammad Ziyad Zolkefli, yang pingat emas beliau dibatalkan kerana protes yang dilakukan oleh kem Ukraine pada Selasa, memohon maaf kepada rakyat Malaysia.

"Saya mintak maaf kepada semua rakyat Malaysia.

"Terima kasih memberi sokongan kepada saya," luah atlet berusia 31 tahun itu di laman Facebooknya pada Rabu.

Ziyad sebelum itu berjaya mengulangi pencapaiannya di temasya Sukan Olimpik Rio 2016 dengan memecahkan rekod dunia dalam acara lontar peluru F20 di Sukan Paralimpik Tokyo 2020 dengan lontaran sejauh 17.94 meter di Stadium Olimpik, Tokyo pada Selasa.

Netizen bagaimanapun tetap memberi semangat kepada atlet yang berasal dari Selangor itu di ruangan komen dan menegaskan bahawa beliau tetap juara di hati rakyat Malaysia.

Emas Ziyad ditarik semula selepas kem Ukraine melakukan protes terhadap tiga atlet, Ziyad, Todd Hodgetts dari Australia dan Jordi Patricio dari Ecuador kerana lewat memasuki call room atau bilik menunggu sebelum pertandingan bermula.

Menteri Belia dan Sukan, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu mengesahkan kem negara sudahpun mengemukakan bukti untuk membantah protes yang dilakukan kem Ukraine tersebut. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram