Medan uji kekuatan sebenar skuad B-20 negara


  • Podium
  • Rabu, 01 Sep 2021

MALONEY (tengah) sedia beri peluang buat muka-muka baharu dalam dua aksi persahabatan skuad B-20 negara. — FAM/Facebook.

DUA aksi persahabatan menjadi pentas terbaik buat muka baharu yang dipanggil menyertai skuad Bawah 20 tahun (B-20) untuk cuba memikat hati pengendali pasukan, Brad Maloney.

Pasukan yang sedang dalam persiapan bagi menghadapi Kelayakan Piala Asia B-23 2022 itu dijadualkan menentang dua skuad Liga Premier, Negeri Sembilan pada Sabtu diikuti menentang skuad Projek FAM-MSN, Isnin (6 September).

“Ini peluang untuk beberapa pemain yang kita tidak pernah bersama sebelum ini. Dengan adanya muka baharu, ia sesuatu yang bagus buat pasukan.

“Kami akan bekerja dan beri peluang kepada mereka untuk cuba dapatkan slot dalam senarai akhir pasukan.

“Akan ada dua persahabatan dan ini adalah peluang terbaik untuk bermain dalam perlawanan sebenar. Saya harap mereka dapat adaptasi apa yang kita mahukan,” kata Maloney menerusi Facebook rasmi Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM).

Skuad muda negara diundi dalam Kumpulan J Kelayakan Piala Asia B-23 2022 bersama Laos, Thailand serta tuan rumah, Mongolia dan dijadualkan berlangsung pada 27 hingga 31 Oktober ini.

Kem latihan Fasa 1 ini diadakan di Kompleks Sukan PKNS selama sembilan hari bermula Isnin hingga Selasa (7 September).

Sementara itu, penyerang skuad Projek FAM-MSN, Azhad Harraz Arman yang turut dipanggil menyertai latihan meluahkan keterujaannya untuk cuba merebut tempat dalam kesebelasan utama.

azhad

Azhad (tengah) yang meledak lapan gol dalam Liga Premier mahu cuba tambat hari Brad Maloney. — FAM/Facebook

“Di saingan Liga Premier (bersama skuad Projek FAM-MSN), saya dapat pengalaman bermain menentang mereka yang jauh lebih senior. Jadi saya kena tunjukkan apa yang saya ada.

“Saya bertambah semangat untuk mengembangkan karier saya. Semua pemain yang ada memiliki kualiti dan saya tidak boleh ambil mudah,” kata pemain 18 tahun itu. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram

azhad, fam, maloney, bola sepak