PASANGAN suami isteri dari Britain mencatat kejayaan luar biasa apabila kedua-duanya berjaya merangkul pingat emas dalam acara lumba basikal pada Sukan Paralimpik Tokyo 2020.
Kejayaan Neil Fachie dan Lora Fachie sekali gus menyumbang pingat emas kepada kontinjen Britain yang kini meraih tujuh pingat emas secara keseluruhannya.
Gandingan Neil dan jurumudi, Matt Rotherham berjaya memecah rekod dunia selepas mengalahkan rakan sepasukan James Ball dan Lewis Stewart untuk meraih emas dalam percubaan masa B 1,000m.
Gandingan ini melepasi masa lama 59.278 saat dengan catatan masa 58.038 sekali gus melayakkan Neil merangkul emas keduanya setelah dia berjaya menewaskan Barney Storey di London pada 2012.
Kejayaan itu turus disusuli isterinya, Lora dengan jurumudi, Corrine Hall apabila berjaya mengekalkan kejuaraan dalam percubaan masa B 3,000m.
Pingat perak dimenangi gandingan Katie-George Dunlevy dan Eve McCrystal dari Ireland yang hanya ketinggalan dua saat, manakala gangsa dimenangi rakan sepasukan, Sophie Unwin and Jenny Holl.
Neil dan Lora mencatat kemenangan di sukan Paralimpik di London (2012) dan Rio (2016) apabila kedua-duanya berjaya berada di tangga teratas podium.
Neil, 37, memulakan kariernya sebagai pelari pecut di Beijing sebelum beralih ke basikal dan memenangi emas dan perak di London dan perak di Rio.
Manakala Lora, 32, gagal memenangi pingat di London tetapi bersama Hall meraih emas dan gangsa empat tahun kemudian.
"Ada hari-hari yang baik dalam hubungan dan ada hari-hari seperti hari ini yang tidak akan kita lupakan," kata Neil.
"Kami tahu hari ini akan menjadi hari besar kami. Sama di Rio apabila Lora mendapat emas, saya mendapat perak. Kembali di London, saya mendapat emas dan Lora ketinggalan.
"Kami berjaya melakukannya bersama-sama, dan memecahkan rekod dunia juga di luar impian kami walaupun pernah berharap. Tapi apa yang berlaku hari ini adalah sesuatu yang mengejutkan," katanya.— Agensi
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram