Yee Khie sebak tidak dapat rai kejayaan bersama ibu


  • Podium
  • Isnin, 30 Ogos 2021

YEE Khie berjaya mengesahkan pingat perak dalam percubaan keduanya, apabila melakukan angkatan seberat 237kg. — Bernama

ATLET powerlifting kebangsaan, Jong Yee Khie tidak dapat menahan air mata daripada membasahi pipinya ketika menaiki podium selepas meraih pingat perak kategori lelaki 107 kilogram (kg) di Sukan Paralimpik Tokyo.

Yee Khie gagal menyembunyikan perasaaan sebaknya kerana tidak dapat meraikan kejayaannya itu bersama mendiang ibunya, Chow Good Sing, yang meninggal dunia akibat sakit jantung pada Oktober tahun lalu.

"Jika Sukan Paralimpik tidak dibatalkan kerana Covid-19 tahun lepas, emak sudah pasti melihat kejayaan saya, namun apakan daya emak telah pergi terlebih dahulu.

"Ketika di podium tadi, hati kecil saya memberitahu emak yang saya sudah berjaya raih pingat perak, harap dia dengar dan bangga dari atas sana,” katanya dalam nada sebak.

Lebih menyedihkan, jadual latihan yang padat serta Perintah Kawalan Pergerakan menyebabkannya tidak dapat berada di sisi emaknya sebelum wanita kesayangannya itu menghembuskan nafas terakhir pada usia 71 tahun.

"Setibanya di Sarawak, saya hanya mampu mengikuti upacara sembahyang sebelum jasad emak dibakar,” tambahnya.

Walaupun tidak berjaya dalam percubaan pertama dengan angkatan seberat 230kg, atlet berusia 32 tahun itu kembali bangkit untuk mengesahkan pingat perak dalam percubaan keduanya, apabila melakukan angkatan seberat 237kg.

Mengenai prestasinya hari ini, anak kedua daripada tiga beradik itu tidak berpuas hati apabila tidak berjaya merangkul pingat emas yang dimenangi atlet Mongolia, Sodnompiljee Enkhbayar, selepas gagal dalam angkatan terakhirnya.

Yee Khie berkata tangan kanannya yang dilihat tidak stabil dalam percubaan terakhirnya itu telah menyebabkan angkatan dilakukannya kurang kemas dan seterusnya dibatalkan pengadil.

Namun, beliau enggan berputus asa dan sudah menyasarkan untuk cuba memenangi pingat emas pada sukan Paralimpik akan datang yang akan dilangsungkan di Paris tiga tahun dari sekarang. — Bernama

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram