SAMA seperti industri lain, senario bola sepak tempatan juga turut terima tempias besar ekoran penularan pandemik Covid-19 yang melanda negara sejak awal 2020.
Secara tidak langsung, objektif peralihan status pasukan yang terlibat dalam penswastaan daripada persatuan (FA) kepada kelab bola sepak (FC) juga mungkin tidak dapat dinilai secara total memandangkan semua pasukan berada dalam situasi getir ketika ini.
Apa tidaknya, impak yang ditinggalkan pandemik itu bukan hanya menghimpit pasukan Liga Malaysia (Liga M), sebaliknya turut beri kesan kepada pihak terlibat seperti penaja, publisiti dan kantung kelab.
Di sebalik usaha dilakukan untuk meneruskan kelangsungan, pasukan bertanding juga akur terpaksa berdepan pelbagai kekangan dalam melaksanakan idea bagi menjana pendapatan.
Ketua Pegawai Eksekutif Terengganu FC (TFC), Ab Rasid Jusoh berkata, ketika ini semua industri turut terpalit dengan masalah sepanjang penularan Covid-19.
“Tidak perlu saya terangkan bagaimana kesukaran yang kami alami kerana semua orang pun sedang alami benda sama. Kewangan sudah pasti jadi masalah utama kerana kami tidak dapat hasil menerusi jualan tiket.
“Tetapi kita tetap cari cara lain. Apa saja yang mampu jana pendapatan, kita akan usahakan. Pihak penaja penaja juga faham situasi yang kita sedang hadapi sekarang.
TFC antara pasukan yang aktif merencana idea bagi menjana pendapatan.
“Untuk penaja, kita sudah buat apa yang patut kami buat. Saya juga alu-alukan mana-mana pihak yang mahu bersama kami dengan konsep ‘menang-menang’,” katanya kepada Majoriti.
Sejak peralihan FA kepada FC, kelab dari Pantai Timur itu muncul antara salah satu pasukan yang dilihat ‘cergas’ di dalam padang dan aktif mengimplementasi idea dan modul baharu perniagaan.
Terbaharu, Terengganu Football Club Sdn Bhd turut memperkenalkan kafe minuman bertemakan ‘Coffee and Football’, TFC Lab.
Ab Rasid menjelaskan, pihaknya juga sedang merancang cabang perniagaan lain seperti memperkenalkan produk harian namun ketika ini pihaknya perlu fokus satu persatu terlebih dulu.
Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Sri Pahang FC, Datuk Mohammed Suffian Awang turut senada dengan Ab Rasid yang menyifatkan situasi sekarang cukup sukar untuk dihadapi pasukan dan pemain.
Mohammed Suffian berkata, walaupun berdepan kesukaran, pihaknya sentiasa mengutamakan SOP dan mengikut segala kehendak kerajaan bagi memastikan industri bola sepak dapat kembali hidup seperti biasa.
“Jadual jadi padat dan risiko cedera akan turut meningkat. Segala perancangan diatur juga tidak dapat dilaksanakan ekoran situasi sedang dihadapi negara ketika ini.
“Justeru, kita menyeru orang ramai supaya segera dapatkan vaksin dan berharap imuniti kelompok dapat dicapai secepat mungkin.
“Bukan saja soal pertambahan kos penyediaan lokasi latihan secara gelembung sukan, emosi juga penting tetapi inilah pengorbanan yang perlu dilakukan walaupun terpaksa berjauhan daripada keluarga.
“Saya juga cadangkan selepas ini individu yang sudah lengkap dua dos vaksin diberi kebenaran ke stadium. Hadkan jumlahnya dan bagi kami walaupun sikit, ia masih dapat bantu pasukan jana pendapatan malah akan beri kepuasan kepada pemain,” kata Mohammed Suffian.
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram