"Yee Khie sanggup belajar kesilapan lalu"


  • Sukan
  • Selasa, 31 Ogos 2021

JONG Yee Khie yang merangkul perak kategori lelaki 107kg Paralimpik Tokyo pada Ahad. — Bernama
SIKAP mahu belajar daripada kesilapan antara faktor Jong Yee Khie mampu bersinar di Paralimpik Tokyo apabila menyumbangkan pingat buat negara, kata jurulatihnya, Jamil Adam.

Kem powerlifting negara menampilkan prestasi membanggakan, apabila Yee Khie yang merangkul perak kategori lelaki 107kg pada Ahad.

Kejayaannya itu menyusul sehari selepas rakan senegara Bonnie Bunyau Gustin yang bertanding dalam kategori lelaki 72 kilogram (kg) mencatat sejarah muncul atlet pertama meraih emas negara pada temasya berprestij itu.

Jamil berkata prestasi Yee Khie tidak menyerlah ketika bertanding dalam kategori 97kg, yang turut menyaksikannya sekadar menamatkan saingan di tempat ketujuh pada edisi lalu di Rio 2016.

Namun beliau kagum dengan semangat Yee Khie, yang tidak pernah mengenal erti putus asa dalam mencapai sesuatu kejayaan, seperti dibuktikannya pada Ahad.

Katanya percaturan menukar kategori Yee Khie daripada 97kg ke 107kg ternyata membuahkan hasil, selepas atlet Sarawak berusia 32 tahun itu meraih pingat perak dalam penampilan keduanya selepas Rio 2016.

"Yee Khie sanggup belajar daripada kesilapan lalu, untuk bangkit menyajikan aksi terbaik dalam kejohanan disertainya, selain tidak pernah mempunyai sifat gentar dalam dirinya," katanya pada sidang media secara maya. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram

Jamil Adam, Jong Yee Khie, Paralimpik