'Kejayaan ini untuk ayah saya'


  • Podium
  • Sabtu, 28 Ogos 2021

BONNIE berjaya meraih pingat emas pertama negara bagi kategori 72kg. — Bernama

"KEJAYAAN ini untuk ayah saya, dahulu beliau mahu mewakili negara dalam Sukan Paralimpik tapi tidak berjaya."

Demikian luahan Bonnie Bunyau Gustin selepas meraih pingat emas pertama negara Sukan Paralimpik Tokyo.

Selain bapanya, atlet kelahiran Sarawak ini turut mendedikasikan kemenangan itu kepada jurulatihnya sendiri.

Lebih manis lagi, atlet berusia 22 tahun itu melebur rekod Paralimpik baharu milik Rasool Mohsin dari Iraq dilakukan di Rio 2016 iaitu 227 kg dengan angkatan 228 kg menerusi percubaan ketiganya dalam saingan di Tokyo International Forum.

Bonnie yang meraih emas acara powerlifting kategori lelaki 72 kilogram (kg) berkata kedua-dua mereka itu merupakan watak penting yang mencorakkan kejayaannya dalam dunia sukan.

Beliau berkata ayahnya, Gustin Jenang, 54, banyak mendorongnya untuk menjadi seorang atlet berjaya seperti dikecapinya hari ini.

Sebagai rekod, Gustin pernah merangkul gangsa kategori lelaki 59 kg pada Sukan Para ASEAN Kuala Lumpur 2017.

Bonnie berasa bangga dan lega apabila dapat menunaikan hasrat ayahnya yang mahu beraksi dalam Sukan Paralimpik ketika mewakili negara suatu ketika dahulu.

Bonnie berkata minatnya dalam sukan powerlifting timbul apabila sering mengikuti ayahnya berlatih sewaktu kecil dahulu sebelum mula mewakili negara pada 2017.

"Kejayaan ini untuk ayah saya, dahulu beliau mahu mewakili negara dalam Sukan Paralimpik tapi tidak berjaya. Saya sangat gembira dapat raih emas pertama negara di sini,” katanya.

Pingat perak dimenangi atlet Mesir, Mahmoud Attia manakala gangsa milik atlet Great Britan, Micky Yule.

Malah bagi Bonnie, kemenangan itu amat bermakna buatnya kerana dapat menghadiahkan pingat emas itu kepada jurulatihnya, Jamil Adam, yang menyambut ulang tahun kelahiran ke-52 pada Jumaat.

"Jurulatih (Jamil) tidak pernah jemu memberi rangsangan kepada saya untuk melakukan yang terbaik tidak kira sama ada ketika berasa tertekan atau sebaliknya dalam sesi latihan mahupun pertandingan," katanya. — Bernama

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram

Bonnie Bunyau Gustin, Paralimpik, emas