KEJAYAAN dua angkat berat Paralimpik kebangsaan meraih pingat buat negara memberi petanda jelas bahawa tindakan drastik perlu diambil untuk memperhebatkan lagi program akar umbi sukan powerlifting negara.
Jurulatih kebangsaan Jamil Adam, berkata bagi mengelakkan negara tidak ketandusan atlet untuk bertanding dalam mana-mana pertandingan di masa depan, langkah yang dilaksanakan perlu merangkumi meningkatkan proses pencarian bakat.
Jamil Adam berkata kem powerlifting negara ketika ini memiliki 50 orang atlet wanita dan lelaki berbanding Thailand dan Indonesia, yang dilihat mempunyai 300 atlet termasuk barisan pelapis dalam skuad mereka.
"Saya harap kejayaan Bonnie dan Yee Khie mampu membakar semangat pihak di peringkat negeri khususnya, untuk merancakkan program pembangunan akar umbi terutamanya pencarian bakat bagi sukan powerlifting.
"Jika program ini berjalan lancar, saya percaya atlet kita mampu untuk pergi lebih jauh lagi pada masa hadapan,” katanya dalam sidang media secara dalam talian.
Malaysia mencatatkan pencapaian membanggakan dalam acara powerlifting apabila meraih dua pingat dalam acara itu.
Bonnie Bunyau Gustin yang bertanding dalam kategori lelaki 72 kilogram (kg) mencatat sejarah muncul atlet pertama meraih emas negara pada temasya berprestij itu Sabtu lepas, diikuti Jong Yee Khie yang merangkul perak kategori lelaki 107kg pada Ahad.
Mengulas mengenai prestasi keseluruhan pasukannya di Jepun, Jamil ternyata berpuas hati apabila kedua-dua anak buahnya berjaya membawa pulang pingat, hasil daripada perancangan rapi dilakukan pihaknya sejak beberapa tahun lepas. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram