Mohd Saifuddin setiausaha agung baharu FAM


  • Podium
  • Isnin, 30 Ogos 2021

MOHD Saifuddin dilantik sebagai Setiausaha Agung FAM menggantikan Stuart Ramalingam - FAM

TEKA-teki siapa Setiausaha Agung Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) yang baharu akhirnya terjawab dan bakal diisi oleh Mohd Saifuddin Abu Bakar, berkuatkuasa Rabu ini.

Pemilihan Mohd Saifuddin dilihat tepat memandangkan bekas Pegawai Pertandingan dan Pengurusan Acara Serantau Konfederasi Bolasepak Asia (AFC) itu cukup berpengalaman dalam bidang pentadbiran.

Mohd Saifuddin, 60, mula menceburi bidang tadbir urus bola sepak sebagai Pegawai Pembangunan Teknikal dan Remaja Persatuan Bolasepak Selangor (FAS) pada 1991.

“(Mohd Saifuddin) menjawat tugas di pelbagai unit dalam FAM dari 1995 hingga 2003 termasuk sebagai Ketua Jabatan Pertandingan dan kemudian menyertai AFC sebagai Pegawai Pertandingan dan Pengurusan Acara Serantau dari 2003 hingga 2007.

“Beliau yang berasal dari Melaka kemudian kembali ke FAM sebagai Penolong Setiausaha Agung dari 2007 hingga 2009 sebelum berhijrah ke Timur Tengah untuk menjadi Penolong Ketua Pertandingan Qatar Stars League.

“Kemudiannya berkhidmat pula sebagai perunding teknikal Oman FA dengan skop tugas selaku Pengurus Pertandingan Liga dan Pelesenan Kebangsaan dari 2012 hingga 2019,” kata FAM menerusi satu kenyataan.

Pelantikkan Mohd Saifuddin adalah bagi mengisi kekosongan yang ditinggalkan Stuart Ramalingam yang dilantik untuk menjawat tugas sebagai Ketua Pegawai Ekskutif (CEO) Malaysia Football League (MFL) yang akan berkuatkuasa pada tarikh sama.

Untuk rekod, Mohd Saifuddin juga merupakan Komisioner Perlawanan (Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA) dan AFC.

Dengan pengalaman luas dimiliki Mohd Saifuddin, FAM yakin ia dapat dimanfaatkan sebaik mungkin untuk mengangkat bola sepak negara ke peringkat lebih baik.

“FAM percaya dengan pengalaman luas di peringkat domestik dan antarabangsa serta latar belakang dan kelayakan dimilikinya, Mohd Saifuddin mampu membawa FAM ke tahap lebih tinggi sambil memenuhi aspirasi pemegang taruh.

“Selamat menjalankan tugas dengan profesional dan penuh amanah demi memartabatkan bola sepak negara,” katanya.

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram

FAM, MFL, bola sepak