Sebutir lagi pingat buat Malaysia di Paralimpik Tokyo


  • Podium
  • Isnin, 30 Ogos 2021

JONG Yee Khie menjadi atlet kedua negara menyumbang pingat di Paralimpik Tokyo. — Agensi
KHABAR gembira terus disumbangkan atlet paralimpik negara apabila sebutir lagi pingat dirangkul menerusi acara angkat berat.

Atlet powerlifting kebangsaan Jong Yee Khie, berjaya merangkul perak dalam acara lelaki 107 kilogram (kg), sekali gus menyumbang pingat kedua negara di Sukan Paralimpik Tokyo, pada Isnin.

Kejayaan Yee Khie itu bermakna, dia dapat menebus kekecewaan selepas sekadar menduduki tempat ketujuh bagi kategori 97kg, ketika membuat kemunculan pertamanya di Rio 2016

Walaupun tidak berjaya dalam percubaan pertama dengan angkatan seberat 230kg, dia kembali bangkit untuk mengesahkan pingat perak dalam percubaan keduanya, dengan angkatan seberat 237kg.

Bagaimanapun, pendandan rambut dari Batu Kawa, Kuching berusia 32 tahun itu, kemudian tidak berupaya untuk memperbaiki angkatan itu selepas gagal dalam percubaan ketiga dan juga terakhirnya iaitu 245kg.

Ini merupakan pingat kedua diraih kem powerlifting negara, selepas Bonnie Bunyau Gustin yang bertanding bagi kategori lelaki 72kg, mencipta sejarah menjadi atlet pertama merangkul emas buat kontinjen negara, pada temasya berprestij itu Sabtu lepas. — Bernama

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram