Kesebelasan utama Arsenal jika Conte gantikan Arteta


  • Podium
  • Isnin, 30 Ogos 2021

Arsenal sedang mengintai khidmat bekas pengurus Inter Milan, Antonio Conte yang menjulang Serie A bersama Inter Milan musim lalu. —AFP/GETTY IMAGES

KEKALAHAN memalukan 0-5 di tangan Manchester City kelmarin memberi tekanan kepada pengurus Arsenal, Mikel Arteta apabila The Gunners kini berada di zon penyingkiran walaupun sudah berbelanja sejumlah 130 juta pound (RM751.3 juta) - tertinggi di Liga Perdana Inggeris (EPL).

Arteta dilaporkan hanya mempunyai peluang sehingga Oktober untuk memastikan Arsenal kembali bersaing atau berdepan pemecatan.

Pihak pengurusan Arsenal kini dilihat sedang mengintai bekas pengurus Inter Milan, Antonio Conte untuk mengambil alih tugas Arteta bagi mengemudi The Gunners.

Dengan pengalaman luas dan rekod cemerlangnya membimbing kelab-kelab ternama Eropah, termasuk menamatkan penguasaan Juventus dalam Serie A bersama Inter Milan musim lalu, Conte dilihat tidak mempunyai masalah untuk membawa Arsenal ke landasan yang tepat semula.

Jika dilantik, Conte dijangka melakukan beberapa perubahan besar dalam kesebelasan Arsenal ketika ini.

Penjaga gol - Ramsdale

Arsenal telah membelanjakan 24 juta pound (RM138.7 juta) untuk menandatangani penjaga gol Aaron Ramsdale dari Sheffield United.

Ketika ini, Bernd Leno masih menjadi pilihan Arteta untuk menjaga gawang The Gunners tetapi persembahan yang tidak konsisten dan kesilapan mudah yang sentiasa dilakukan mungkin memberi peluang buat penjaga gol England itu mengisi posisi nombor satu di Arsenal.

Pertahanan - White, Gabriel Tierney

Conte dikenali dengan formasi 3-4-3 yang menjadi kegemarannya termasuk ketika memacu Chelsea memenangi EPL pada musim 2016/17 dan mungkin akan menggunakan formasi sama jika bersama Arsenal.

Pertahan yang dibeli dari Brighton dengan nilai 50 juta pound (RM288.9 juta), Ben White sudah mempunyai pengalaman bermain dalam formasi tersebut ketika bersama Seagulls.

Gabriel yang dijangka pulih daripada kecederaan lutut bulan hadapan, akan menjadi pilihan utama di bahagian tengah manakala pertahan Scotland, Kieran Tierney pernah bermain di bahagian kiri dalam posisi tersebut beberapa kali untuk negaranya.

Tengah - Maitland-Niles, Partey, Xhaka, Saka

Ketibaan Conte dilihat mampu memberi nafas baharu kepada karier Maitland-Niles yang semakin dilupakan.

Dia dilihat sebagai calon yang paling sesuai untuk mengisi bahagian kanan The Gunners manakala bintang England, Bukayo Saka selalu diletakkan di bahagian kiri ketika mula-mula menembusi kesebelasan utama Arsenal.

Thomas Partey dan Granit Xhaka dilihat sebagai duo terkuat di Arsenal ketika ini walaupun ketibaan Albert Sambi Lokonga mampu memberi cabaran buat Xhaka untuk mengekalkan tempatnya dalam pasukan.

Serangan - Odegaard, Aubameyang, Smith Rowe

Martin Odegaard yang baru saja dibeli secara tetap daripada Real Madrid dilihat mampu mengisi posisi nombor 10 bersama Emile Smith Rowe seperti apa yang dilakukan oleh Chelsea dengan menggunakan Kai Havertz dan Mason Mount.

Pergerakan Odegaard dan Smith Rowe ke bahagian dalam mampu memberi ruang buat Maitland-Niles dan Saka untuk pergi ke bahagian hadapan melalui sayap.

Kapten The Gunners, Pierre-Emerick Aubameyang yang mengalami penurunan prestasi sejak menandatangani kontrak baharu mungkin menjadi pilihan Conte berbanding Alexandre Lacazette berdasarkan rekod jaringannya bersama kelab. — Agensi

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram

arsenal, conte, arteta, epl, the gunners