Misi JDT seterusnya…..


  • Podium
  • Sabtu, 28 Ogos 2021

PEMAIN JDT meraikan kemenangan Liga Super kali ke-8 berturut-turut selepas berjaya mengalahkan pasukan Sri Pahang FC 3-0 di Stadium Sultan Ibrahim, semalam - Bernama

SELEPAS sudah pun mengesahkan kejuaraan Liga Super buat kali kelapan berturut-turut, Johor Darul Ta’zim (JDT) memburu satu lagi pencapaian musim ini.

Tidak lain tidak bukan ianya adalah untuk membantu ayam tambatannya, Bergson da Silva dalam pemburuan kasut emas selepas hatriknya ketika membenam Sri Pahang 3-0 meletakkan namanya sebagai pendahulu penjaring terbanyak.

Penyerang dari Brazil itu sudah pun menyamai pencapaian jaringan tertinggi dalam semusim dengan 23 gol yang dibuat bekas pemainnya, Mohamed Ghaddar pada edisi 2017.

​​​​​​​ ​​​​​​​ ​​​​​​​ ​​​​​​​ ​​​​​​​ ​​​​​​​ ​​​​​​​ bergson

Bergson kini berada di landasan terbaik buru Anugerah Kasut Emas

Pengendali JDT, Benjamin Mora berkata Harimau Selatan akan terus memburu apa juga pencapaian dan sedia bantu Bergson.

“Kami akan membantu semua pemain dalam pasukan ini dan bersedia untuk menolong Bergson mendapatkan penjaring terbanyak kerana ini juga sesuatu yang baik kepada JDT.

“Objektif utama pasukan adalah menjuarai apa jua kejohanan yang kita sertai dan sekarang sudah tentu kami akan bantu Bergson, yang akan menjadi satu lagi pencapaian buat JDT,’ kata jurulatih dari Mexico itu.

JDT memastikan angka keramat 51 mata untuk memastikan kejuaraan Liga Super dan ianya cukup manis untuk dicapai di Stadium Sultan Ibrahim namun sedikit ralat kerana tidak dapat diraikan bersama ‘pemain ke-12’.

Namun penghargaan wajar diberikan kepada Tunku Mahkota Johor (TMJ), Tunku Ismail Sultan Ibrahim kerana komitmennya membantu pasukan kekal dominan dalam saingan Liga Malaysia (Liga M).

Kini persaingan lebih menjurus kepada perebutan tempat kedua membabitkan tiga penjuru, Terengganu, Kedah Darul Aman (KDA FC) dan Penang.

Selepas ini, JDT ada dua lagi baki perlawanan, bermula dengan aksi menentang Terengganu di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin, Gong Badak, 4 September ini sebelum melengkapkan musim menentang Kuala Lumpur City, 12 September ini.

“Saya tetap akan turunkan barisan terkuat (menentang Terengganu) kerana kami mahu cuba membalas dendam kekalahan yang dialami sebelum ini.

“Mereka merupakan satu-satunya pasukan yang berjaya tewaskan kami di liga, ” katanya. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram

jdt, Liga super, bergson