Detik getir buat KDA FC dalam lima aksi terakhir


  • Podium
  • Khamis, 26 Ogos 2021

KDA FC tidak boleh cepat berpuas hati dengan prestasi sekarang. — MFL

DUA belas gol yang dijaringkan dalam empat perlawanan sepanjang Ogos bukan gambaran sebenar kekuatan dimiliki Kedah Darul Aman FC (KDA FC) untuk cuba menempatkan di kedudukan terbaik dalam Liga Super.

Walaupun pengendalinya, Aidil Sharin Sahak puas dengan pencapaian tiga kemenangan dalam empat aksi terakhir, ia bukan jaminan yang mata maksimum mampu dicapai pada baki saingan musim ini.

Jurulatih dari Singapura itu merasakan, pelbagai aspek perlu diambil kira termasuk soal pemilihan pemain memandangkan anak buahnya bakal berdepan jadual yang padat.

“Saya tidak boleh katakan kami telah selamat kerana masih ada lagi baki perlawanan yang perlu ditempuh dan kita tidak boleh lagi tercicir mata.

“Tetapi saya yakin dengan tahap keyakinan pemain-pemain saya yang sentiasa bersungguh-sungguh, cuma apabila ada beberapa kecederaan, itu yang memberi sedikit tekanan kepada kami,” katanya.

Semalam, skuad Hijau Kuning itu memastikan kemenangan ke -11 musim ini selepas membelasah PJ City FC 4-1 di Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ).

Ketika ini, KDA FC bersaing hebat dengan Terengganu untuk cuba merebut tempat kedua, ketika Johor Darul Ta’zim (JDT) kini seakan sebelah kaki untuk menjulang trofi Liga Super buat kali kelapan berturut-turut.

Mengulas aksi ketika menentang PJ City FC, Aidil lega dan menghamburkan pujian terhadap pemain yang menunjukkan komitmen tinggi.

“Alhamdulillah kemenangan kali ketiga berturut-turut. Tahniah kepada semua pemain yang mengikuti perancangan kita dengan baik.

“Kita bekerja keras untuk datang ke sini dan PJ City juga merupakan lawan yang cukup kuat, tetapi kita perlu perbaiki lagi segala kelemahan untuk terus raih tiga mata dalam aksi akan datang.

“Sekarang semangat pemain saya cukup tinggi. Saya rasa ini yang membuatkan hubungan antara pemain lebih baik kerana kami sentiasa bersama dan ia hadir melalui semangat berpasukan seperti ini”, katanya. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram

KDA FC, Kedah, Liga Super