Nur Syaiful perbaharui rekod peribadi di Tokyo


  • Podium
  • Khamis, 26 Ogos 2021

MUHAMMAD Nur Syaiful Zulkafli berjaya memadam rekod peribadi yang dicatatkan di UK pada 2019. — Bernama 

PERENANG para kebangsaan Muhammad Nur Syaiful Zulkafli berjaya memecah rekod peribadi 100 meter gaya bebas lelaki S5 (kecacatan fizikal) di Sukan Paralimpik Tokyo.

Memulakan aksi di lorong pertama, Nur Syaiful menamatkan saingan di tangga ketujuh daripada lapan pelumba dalam acara yang berlangsung di Pusat Akuatik Tokyo hari ini.

Perenang dari Sarawak itu mencatat masa 1 minit 15.12 saat, sekali gus memadam catatan peribadi terdahulu iaitu 1:15.39s saat di London, United Kingdom (UK) pada 2019.

Atlet Itali Francesco Bocciardo, menampilkan renangan bergaya apabila merangkul emas dengan catatan 1:09.56s diikuti perenang China, Lichao Wang, dengan rekod masa 1:10.45s dan Daniel de Faria Dias dari Brazil gagal mempertahankan emas dimenanginya di Sukan Olimpik Rio 2016, apabila hanya meraih gangsa dengan 1:10.80s.

Terdahulu, Nur Syaiful melayakkan diri ke peringkat akhir selepas menduduki tangga ketiga dalam saringan pertama dan ketujuh terbaik daripada 13 perenang secara keseluruhan.

Dia mencatat masa 1:16.33s pada saringan tersebut.

Hanya lapan perenang terbaik daripada kedua-dua saringan yang diadakan pagi tadi, mara ke peringkat akhir.

Semalam, Nur Syaiful, yang mengalami kecacatan kedua-dua kakinya selepas terlibat dalam kemalangan pada 2012, tidak berjaya layak ke peringkat akhir acara 200 meter gaya bebas lelaki S5, selepas penyertaannya dalam saringan pertama dibatalkan gara-gara isu teknikal.

Selepas dua aksi disertainya, atlet berusia 26 tahun itu masih berpeluang untuk meraih pingat, apabila dijadual beraksi dalam acara 50 meter gaya bebas lelaki (S5) dan 100 meter kuak dada lelaki (SB4) selepas ini, bagi melengkapkan kempen sulungnya pada temasya berprestij di Jepun itu. — Bernama

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram