Pingat emas Paralimpik ke-15 buat Sarah Storey


  • Podium
  • Rabu, 25 Ogos 2021

PELUMBA Britain, Sarah Storey jelas berada dalam kelas tersendiri apabila berjaya meraih pingat emas ke-15 peribadi dalam acara berbasikal Temasya Sukan Paralimpik Tokyo 2020.

Pelumba wanita berusia 43 tahun itu berjaya menewaskan rakan senegara, Crystal Lane-Wright dalam acara C5 pecut individu 3,000 meter.

Storey terlebih dulu ketinggalan sebelum mula memintas Lane-Wright ketika perlumbaan memasuki jarak 1,750 meter.

Kemenangan itu menyaksikan Storey berjaya menyumbang emas pertama buat Britain pada temasya edisi kali ini.

Dia hanya memerlukan satu lagi pingat emas bagi menyamai pencapaian rakan senegara, Mike Kenny yang memegang rekod 16 pingat emas untuk Britain.

Momen itu dijangka berjaya direalisasikan dalam tempoh terdekat apabila bakal beraksi dalam acara C5 untuk mempertahankan emas yang dimenanginya pada edisi di Rio, Brazil pada 2016.

"Perasaan saya kini seolah-olah berada di awang-awangan, mungkin saya akan kekal berasa sebegini sehingga pulang ke Britain nanti.

"Saya telah berlatih sebaik mungkin dan enggan terlalu optimis. Ia sesuatu yang melegakan apabila berjaya menepati ramalan sekali gus membawa pulang pingat emas," kata Storey.

Storey yang dilahirkan tanpa tangan kiri yang berfungsi sepenuhnya telah memulakan kariernya sebagai perenang pada temasya Sukan Paralimpik Barcelona 1992 dan berjaya meraih lima emas acara renang pada empat temasya sebelum beralih ke acara berbasikal pada tahun 2005.

Sementara itu dalam satu lagi final berbeza, pasangan juara bertahan acara B4,000 meter, Steve Bate dan Adam Duggle gagal mempertahankan pingat emas apabila ditewaskan pasangan Belanda, Tristan Bangma dan Patrick Bos kali ini. —AGENSI

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram

Sarah Storey, paralimpik, Tokyo 2020