ADAKAH anda antara yang teruja melihat pakaian kontinjen atlet Paralimpik Tokyo 2020 negara?
Menerusi hantaran di akaun rasmi Twitter jawatankuasa penganjur @Tokyo2020, mereka memuji busana yang dipakai oleh atlet negara kita.
“Aiyo! Berikan kami alasan untuk memakainya. Kami hanya menyukai pakaian anda, Malaysia!” tulisnya.
Pujian busana kontijen Malaysia menerusi Tweet @Tokyo2020
Rekaan busana tersebut hasil rekaan daripada Jabatan Seni Reka Fesyen, Fakulti Seni Lukis dan Seni Reka, Universiti Teknologi Mara (UiTM).
Menurut Utusan Malaysia, pakaian kontinjen Malaysia itu diilhamkan menerusi pakaian legenda pendekar Melayu, Hang Tuah dengan warna Jalur Gemilang selain menampilkan motif Songket Bunga Tabur.
Pakaian lelaki dilengkapi dengan tanjak, baju sikap dan samping melambangkan kebersamaan rasa cinta kepada Malaysia dan pakaian kebangsaan.
Bagi busana wanita pula, mereka lengkap berdokoh dan selendang tampak sopan dan menetapkan identiti Malaysia yang kaya dengan kepelbagaian budaya.
Team Malaysia diketuai oleh pembawa bendera dan juara powerlifting, Bonnie Bunyai Gustin bersama atlet olahraga, Siti Noor Iasah Ariffin.
Netizen Malaysia yang melihat tweet @Tokyo2020 turut menyatakan rasa cinta dan bangga terhadap busana yang dikenakan oleh kontinjen negara itu.
“Terima kasih atas pujian tetapi kami juga menyukainya. Pakaian yang paling indah pada masa ini. Arigato Gozaimasu,” tweet @ultrasukan.
“Saya lebih suka ini. Songket dan coraknya sangat sederhana dan bagus. Yang kurang itu lebih,” tulis @joulejulies.
“Semoga berjaya atlet Paralimpik kami. Kembalikan pingat, pecahkan rekod dengan semangat Malaysia Boleh,” tweet @Alawiyah Yussof.
Pengguna Twitter @harry_jjay menulis dengan kata-kata terbaik, “Berdiri di mata dunia,” memetik sebahagian lirik lagu terkenal oleh Ratu Rock Malaysia, Ella.
Lagu Standing in the Eyes of the World mendapat populariti ketika dipilih sebagai lagu tema rasmi untuk Sukan Komanwel 1998.
Pada temasya Sukan Paralimpik tahun ini, seramai 22 atlet mewakili Malaysia dalam sembilan kategori sukan bermula semalam hingga 5 September depan.
Semoga berjaya dan kami mengharapkan yang terbaik untuk Paralimpian kita! Mari bersorak untuk atlet kita di Sukan Paralimpik Tokyo 2020! — The Sun Daily
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram