DUA atlet negara yang tewas pada peringkat permulaan Sukan Paralimpik Tokyo 2020 semalam dipercayai mampu untuk bangkit semula pada perlawanan seterusnya bagi memastikan kemaraan dalam acara masing-masing
Ketua kontinjen negara, Datuk Seri Megat D Shahriman Zaharuddin berkata, beliau yakin atlet ping pong, Chee Chao Ming dan perenang, Muhammad Nur Syaiful Zulkafli mampu mara sehingga ke peringkat penentuan pingat.
“Hari ini (Rabu) dalam acara ping pong, kita kalah pada pusingan pertama. Tapi tak apa, kita masih ada lagi peluang pada perlawanan seterusnya.
“Dalam pada itu, atlet renang kita, Muhammad Nur Syaiful juga tidak bernasib baik hari ini apabila berlaku kesilapan teknikal dan menyebabkan penyertaannya dibatalkan. Namun dia masih boleh bangkit dalam tiga lagi acara renang yang lain.
“Oleh itu, kita berharap kedua-duanya dapat kekal fokus dan tidak melakukan sebarang kesilapan lagi kerana saya melihat kedua-duanya begitu bersemangat untuk melakukan yang terbaik kali ini,” katanya kepada Sukan Sinar.
Chao Ming tewas 16-11, 7-11 dan 4-11 kepada atlet Itali, Mohamed Kalem di Gimnasium Metropolitan, Tokyo manakala Muhammad Nur Syaiful pula tersingkir daripada acara 200 meter (m) renang gaya bebas di Pusat Akuatik, Tokyo apabila penyertaannya dibatalkan akibat kesilapan teknikal.
Tambah Megat D Shahriman, beliau tidak menolak sasaran tiga pingat emas yang diletakkan di bahu kontinjen negara mampu diatasi berdasarkan kepada semangat yang ditunjukkan oleh kesemua atlet para negara.
Sementara itu, Megat D Shahriman berkata pihaknya sentiasa mengambil langkah berjaga-jaga dalam memastikan atlet negara tidak dijangkiti virus Covid-19 walaupun setakat ini tidak ada sebarang simptom atau kes yang melibatkan atlet negara.
“Alhamdulillah, setakat ini semua atlet dilaporkan dalam keadaan sihat, tak ada masalah dan semua atlet ikuti SOP yang ketat di sini.
“Cuma bila naik bas ramai-ramai, kumpul ramai-ramai itu yang kita risau. Namun setakat ini semuanya ok dan kita juga berpuas hati dengan acara pembukaan di mana rasanya baju kita mungkin antara yang terbaik,” katanya. — SINAR HARIAN
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram