AS Monaco kaut untung besar PSG jual Mbappe


  • Podium
  • Khamis, 26 Ogos 2021

MBAPPE menyatakan niat untuk berpindah ke Real Madrid pada musim ini. — Agensi

NAMA pemain Paris Saint-Germain (PSG), Kylian Mbappe kian hangat diperkatakan berhubung isu perpindahannya ke Real Madrid pada jendela perpindahan musim ini.

Sekiranya Mbappe memeterai perjanjian dengan Los Blancos, bekas kelabnya iaitu AS Monaco dikhabarkan akan menerima wang sebanyak 35 juta euro (RM172.6 juta).

Ketika Mbappe dijual ke PSG pada 2017, Monaco menyertakan klausa penjualan sekiranya PSG menjual pemain berkenaan.

Mbappe dilaporkan telah menyatakan niat untuk meninggalkan PSG dan perkara itu didedahkan sendiri oleh pengarah kelab tersebut, Leonardo.

Real Madrid sudah mengemukakan tawaran berjumlah 160 juta euro (RM789 juta) untuk mendapatkan Mbappe.

Bagaimanapun, PSG dikatakan enggan melepaskan Mbappe meskipun sudah menandatangani bintang terkemuka, Lionel Messi baru-baru ini.

Pemilik PSG, Nasser al-Khelaifi dilapor pernah berjanji akan melepaskan Mbappe sekiranya menerima tawaran daripada Real Madrid pada 2017.

Mbappe telah bermain sebanyak 174 perlawanan dan menyumbat 133 gol sepanjang kariernya di PSG.

Selain itu, Mbappe turut merangkul 10 trofi bersama PSG di peringkat domestik dan masih gagal memenangi Liga Juara-Juara Eropah.

Seandainya perpindahan Mbappe ke Los Blancos direalisasikan, dia akan berganding dengan rakan senegaranya dari Perancis, Karim Benzema dalam usaha merebut trofi Liga Juara-Juara Eropah dan La Liga Sepanyol. — Agensi

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram

Kylian Mbappe, Real Madrid, PSG