Kane sah kekal bersama Spurs


  • Podium
  • Khamis, 26 Ogos 2021

DESAS-desus perpindahan penyerang Tottenham Hotspur, Harry Kane akhirnya terjawab apabila pemain itu memutuskan untuk kekal bersama kelab itu untuk musim akan datang.

Khabar itu turut disahkan oleh media tempatan yang melaporkan bahawa pemain berusia 28 tahun itu dipercayai telah menerima hakikat bahawa dia akan kekal di Tottenham Hotspur musim panas ini.

Dalam satu muat naik di akaun Twitter, Kane menulis bahawa dia kagum melihat sambutan dan sokongan daripada peminat Spurs.

"Sangat luar biasa untuk melihat sambutan daripada peminat Spurs pada hari Ahad dan membaca beberapa mesej sokongan yang saya dapat dalam beberapa minggu terakhir.

""Saya akan kekal di Tottenham untuk musim panas ini dan bakal memberikan fokus 100 peratus untuk membantu pasukan mencapai kejayaan," tulisnya.

Difahamkan juga bahawa kontrak Kane yang sepatutnya berakhir pada tahun 2024 bakal dilanjutkan susulan Spurs bakal menawarkan tawaran baharu kepada pemain itu.

Dengan kekalnya Kane bersama Spurs, pemain itu dijangka kembali membuat kemunculan Liga Perdana Inggeris (EPL) pada hari Ahad ini menentang Watford.

Dia sebelum ini membuat penampilan pertama untuk Tottenham musim ini selapas dimasukkan pada 20 minit terakhir dalam perlawanan yang berakhir dengan kemenangan 1-0 di Wolves Ahad lalu.

Sebelum ini, Kane yang juga kapten untuk pasukan bola sepak England itu dikaitkan dengan khabar perpindahan ke Manchester City.

City dikatakan telah membuat tawaran sebanyak £75 juta (RM432.21 juta) kemudian menambah lagi £25 juta (RM144.07 juta) untuk menarik perhatian Spurs supaya melepaskan Kane ke kelab itu.— AGENSI

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram

harry kane, spurs, manchester city