Hajat kahwin tak kesampaian, tunang terkilan bakal suami meninggal kerana terbeban kerja melampau, tertekan kena urus 400 pelajar


  • Benua
  • Khamis, 08 Mei 2025

Seorang guru lelaki meninggal dunia di pejabatnya akibat serangan jantung yang dipercayai berpunca daripada tekanan kerja melampau.

IMPIAN sepasang kekasih untuk mendirikan rumah tangga pada bulan ini musnah sekelip mata apabila seorang lelaki ditemui dalam keadaan tidak bernyawa di pejabatnya akibat serangan jantung yang dipercayai berpunca daripada tekanan kerja yang melampau.

Mangsa yang dikenali dengan nama keluarga Li merupakan guru muda yang telah bekerja selama lima tahun di sebuah syarikat pendidikan dan tuisyen dalam talian yang terkenal di Wuhan, China. 

Syarikat itu menawarkan kursus bahasa Inggeris dan matematik kepada pelajar sekolah rendah dan menengah, dengan lebih 160 juta pengguna berdaftar.

BACA LAGI:  Diserikan dengan gabungan budaya Bali, Jawa dan Eropah, Luna Maya dan Maxime kini bergelar suami isteri

BACA LAGI:  Kanak-kanak cedera akibat lencana bendera, ibu bapa bimbang benda sama berulang, gesa henti penggunaan pin tajam di sekolah

Menurut laporan media tempatan, Li telah bekerja lebih masa selama beberapa hari berturut-turut menyediakan tugasan sebelum cuti panjang. 

Pada 22 April lepas, guru lelaki berusia sekitar 20-an itu masuk ke pejabat dan terus bekerja hingga larut malam. 

Namun, tunangnya yang gagal menghubunginya berasa tidak sedap hati lalu menghubungi pihak polis.

Pada 23 April lepas, seorang pekerja pembersihan menemui Li dalam keadaan tidak sedarkan diri di pejabat. 

Beberapa bekas pekerja mendedahkan amalan kerja berlebihan adalah perkara biasa di syarikat itu. 

Dia disahkan meninggal dunia akibat serangan jantung secara tiba-tiba.

Tunangnya yang sedang membuat persiapan untuk majlis perkahwinan berasa hampa apabila panggilan telefonnya tidak dijawab tanpa disangka itulah tanda bakal suami tercinta telah pergi buat selamanya.

Menurut keluarganya, Li berasal daripada keluarga yang susah.

Li merupakan anak kedua dan mempunyai seorang kakak yang masih bujang, manakala bapanya telah lama meninggal dunia.

Pihak berkuasa buruh tempatan sedang menguruskan dokumentasi untuk mengesahkan kematian Li yang dikaitkan dengan pekerjaan melampau.

Pada 25 April, syarikat tempat Li bekerja mengeluarkan kenyataan menzahirkan rasa dukacita dan berjanji akan bekerjasama dengan pihak keluarga.

Namun, kenyataan itu mencetuskan kemarahan netizen apabila syarikat mendakwa tiada tugasan kerja lebih masa diberikan kepada Li memandangkan hari kejadian adalah dalam tempoh cuti umum syarikat.

Menjengah ke ruangan komen, ramai warganet yang mempertikaikan kenyataan tersebut.

"Adakah syarikat cuba mengatakan Li bekerja lebih masa secara sukarela? Tiada siapa akan buat tanpa prestasi atau takut dibuang kerja," kata seorang pengguna media sosial.

Malah, beberapa bekas pekerja mendedahkan amalan kerja berlebihan adalah perkara biasa di syarikat itu. 

Seorang guru pelajar perlu mengurus sehingga 400 pelajar, menjawab pelbagai soalan ibu bapa, serta bekerja lebih enam jam setiap hari melebihi waktu kerja rasmi.

Lebih mengejutkan, kakitangan juga perlu melaporkan kepada penyelia setiap kali ingin ke tandas atau berehat makan tengah hari. 

Seorang bekas pekerja yang hanya dikenali sebagai Wang berkata, dia mengalami kegelisahan akibat beban kerja dan akhirnya meletak jawatan akhir tahun lalu. 

Seorang lagi, Zhang, terus berhenti sehari selepas mendengar berita kematian Li.

Insiden tragis ini mencetuskan perbincangan hangat di media sosial China, dengan topik berkaitan mencecah lebih 70 juta tontonan.

“Cikgu Li sepatutnya meraikan hari bahagianya, bukannya meninggalkan dunia dalam tekanan kerja,” tulis seorang pengguna.

Kejadian itu sekali lagi membongkar budaya kerja toksik yang masih berleluasa di China, walaupun undang-undang buruk negara itu menetapkan maksimum lapan jam kerja sehari, tidak melebihi 44 jam seminggu, serta mempunyai 36 jam kerja lebih masa sebulan. — Agensi

Boleh follow media sosial Majoriti di  TwitterFacebook ,  InstagramWhatsApp Channel  dan  Telegram