
DALAM dunia percintaan moden, bukan semua hubungan terputus kerana pudarnya rasa cinta. Ada yang berakhir kerana realiti hidup yang sukar dielak termasuk soal kemampuan kewangan.
Itulah yang berlaku kepada seorang lelaki yang dikenali sebagai Zafreezaharidan apabila dia memilih untuk menamatkan hubungan kerana tidak mampu memenuhi permintaan wang hantaran sebanyak RM50,000 iaitu jumlah yang dianggap di luar batas kemampuannya.
Menerusi satu hantaran di laman X (Twitter), Zafreezaharidan mendedahkan kisah percintaan yang pernah berlaku dalam hidupnya.
BACA LAGI: Cantik dari dapur, brokoli dan bawang mempunyai manfaat cantikkan rambut, elak gugur
BACA LAGI: Beri sinar baharu untuk kesihatan kulit wanita, vitamin B12 bantu masalah dermatitis
Kisah percintaan yang pernah terjadi dalam hidup Zafreezaharidan. — Gambar hiasan
"Saya faham, menolak seseorang itu sukar. Tapi terus mengecewakan dalam jangka masa panjang adalah jauh lebih menyakitkan.
"Tahun lalu saya pernah menolak seseorang, dan inilah caranya," tulisnya sambil berkongsi tangkap layar perbualan WhatsApp bersama bekas kekasihnya.
Perbualan tersebut menyiarkan Zafreezaharidan membuat keputusan untuk berpisah secara baik.
Dia menyatakan dengan jujur bahawa permintaan hantaran yang terlalu tinggi tidak dapat dipenuhi dan berharap wanita itu akan bertemu lelaki yang mampu memenuhi keinginannya.
Namun, wanita berkenaan kelihatan kecewa, seolah-olah menyalahkan Zafreezaharidan kerana telah menghancurkan hatinya.
Perkongsian itu mencetuskan perdebatan hangat dalam kalangan warga maya. Ramai menyokong tindakan Zafreezaharidan yang dianggap matang dan berpandangan jauh.
Pengguna bernama Anna Hadi memuji cara lelaki itu menangani situasi dengan tenang dan sopan.
"Tertib, petah dan gentleman. Dia tahu kemampuan diri dan memilih untuk tidak terus menyakiti hati orang lain. Ibu bapanya pasti bangga," katanya.
Pengguna lain, Aaaajisha berkongsi pandangan yang sering dipesan oleh ibu bapanya.
"Hantar jangan terlalu tinggi sebab bukan nak jual anak. Tapi jangan terlalu rendah juga supaya ada usaha dan kegigihan serta tanggungjawab daripada pihak lelaki.
"Mudahkan urusan wajib dan jangan sampai membebankan," katanya.
Kadar mas kahwin yang ditetapkan seorang wanita seharusnya tidak terlalu tinggi tetapi juga tidak terlalu rendah. — Gambar hiasan
Seorang lagi pengguna, Fatihah_KA pula memuji ketegasan Zafreezaharidan.
"Kalau hantaran pun dah tinggi, kos hidup selepas kahwin mesti lebih tinggi. Lelaki ini jelas sudah memikirkan tanggungjawab masa depan," katanya.
Fawwaz pula mempersoalkan wanita yang mengenakan hantaran yang terlalu tinggi sehingga mencecah RM50,000.
"RM50,000? Pandai masak ke? Pandai jaga suami? Atau sekadar cantik? Kalau setakat rupa, jangan letak harga macam tu. Bro, keputusan kau memang bijak," katanya.
Perkara itu turut dipersetujui dua individu lain yang menganggap ia menjadi bebanan besar sehingga pihak lelaki berkemungkinan terpaksa berhutang.
"RM50,000 hanya untuk hantaran? Itu memang keterlaluan. Kalau perangai pula 'biawak hidup', memang tak berbaloi. Bro, kau dah elak bala awal-awal," kata Hilmi .
"Bayangkan buat personal loan RM50,000 semata-mata nak kahwin. Itu bukan langkah bijak. Tarik handbrake sebelum terlambat," kata Zafranmustafa .
Zulll pula berkongsi pengalaman peribadi dengan berharap bahawa jumlah hantaran yang dikenakan harus sesuai dengan kemampuan seseorang.
"Pernah juga jumpa kes minta hantaran tinggi, alasan nak buat majlis besar untuk kedua-dua belah pihak. Tapi akhirnya keluarga lelaki terpaksa tanggung semua. Tak adil dan tak bijak," katanya. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter , Facebook , Instagram , WhatsApp Channel dan Telegram