
KEMPEN terbaharu yang menampilkan bintang terkenal Hong Kong, Charmaine Sheh membawa mesej penting tentang celik kewangan dan perancangan masa depan iaitu satu topik yang semakin relevan dalam dunia moden.
Dalam menyelami wataknya sebagai pengurus akaun bank dalam kempen komersial tersebut, Charmaine mengakui memperoleh banyak ilmu baharu berkaitan pengurusan kewangan.
Beliau tidak menyangka bahawa tugas seorang pengurus akaun begitu mencabar dan memerlukan ketajaman fikiran dalam menyusun pelan kewangan yang strategik untuk pelanggan.
"Saya sedar, ramai yang menyimpan wang tetapi tanpa perancangan yang betul, akhirnya simpanan itu mudah lesap.
"Merancang kewangan bukan sekadar menyimpan tetapi tentang bagaimana untuk mengembangkan kekayaan dengan lebih bijak," katanya.
BACA LAGI: Beri sinar baharu untuk kesihatan kulit wanita, vitamin B12 bantu masalah dermatitis
Salah satu aspek yang diketengahkan adalah perancangan pendidikan anak-anak.
Beliau teringat zaman mudanya yang sukar, apabila tiada tempat untuk mendapatkan nasihat kewangan, hingga keluarganya terpaksa menanggung tekanan kewangan yang berat.
“Kalau dulu ada khidmat sebegini, banyak perkara mungkin lebih mudah. Tapi kini, kita ada peluang untuk bantu generasi akan datang dengan perancangan awal," katanya.
Beliau juga menekankan keperluan untuk perlindungan kesihatan khususnya dalam dunia yang semakin global.
Baginya, insurans kesihatan yang meliputi perlindungan antarabangsa adalah sesuatu yang amat penting agar seseorang dapat bekerja atau melancong dengan tenang tanpa risau risiko perubatan di luar negara.
Antara amalan yang dipraktikkannya termasuk menjalani pemeriksaan kesihatan secara berkala, selain mula memberi tumpuan kepada perancangan pendapatan pasif sebagai persediaan hari tua.
"Apabila merancang lebih awal, kita bukan sahaja elak tekanan kewangan tetapi juga beri diri peluang untuk menikmati hidup dengan lebih bebas di masa hadapan," tambahnya.
Charmaine juga menyeru masyarakat agar mengambil langkah bijak dalam mengurus kewangan demi masa depan yang lebih stabil.
“Jangan tunggu sampai terlambat. Rancang awal dan hidup dengan tenang," katanya. —The Star
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram