
PERSONALITI media sosial dan aktivis, Farah Lee sekali lagi menggemparkan warga maya dengan pendedahan menyayat hati mengenai kekejaman yang berlaku di Damascus, Syria.
Dalam video dimuat naik di Instagram pada Jumaat, Farah mendedahkan penemuan tulang wanita dan kanak-kanak yang masih mempunyai kesan darah di lokasi pembunuhan melibatkan kira-kira 200 orang wanita dan kanak-kanak.
“Allahuakbar. Dekat sini mereka kumpulkan wanita dan kanak-kanak, tanggalkan pakaian mereka, tolak dari bangunan tinggi, kemudian tembak, bakar dan tanam mereka di lantai-lantai bangunan yang dah hancur mereka bomkan,” tulisnya dalam kapsyen video tersebut.
BACA LAGI: HAWA, Akademi Al Bayan salur sumbangan untuk 250 orang golongan asnaf, mualaf
Farah tidak dapat menahan sebak sewaktu menyaksikan sisa kekejaman perang di Syria manakala gambar kiri memaparkan penemuan tulang-tulang mangsa melibatkan wanita dan kanak-kanak. — Instagram/@farahlee_
Menerusi video berkenaan, Farah tidak dapat menahan sebak dan menangis di lokasi kejadian menyaksikan kekejaman yang berlaku.
Dalam perkongsiannya, Farah berharap agar lebih ramai menyedari penderitaan dan trauma yang dialami rakyat Syria.
“Mungkin sebelum ni korang tak tahu sangat penderitaan mereka. Saya harap dengan perkongsian ini, lebih ramai orang akan cakna tentang nasib mereka dan perjuangan mereka untuk kembali ‘lahir semula’ di bawah kepimpinan yang baharu,” katanya.
Pada Khamis, beliau mendedahkan keadaan mengerikan di kawasan berdekatan yang turut menjadi saksi kekejaman terhadap rakyat Syria.
Menurut Farah, kira-kira 500 orang yang kebanyakannya lelaki dibunuh di lokasi berkenaan.
"Masih ada bau busuk, abu-abu mayat di siling bangunan, ditimbus beramai-ramai di laluan kereta macam tu je," tulis Farah lagi.
Penduduk Syria yang ditemui Farah turut menceritakan bagaimana tragedi pembunuhan 500 orang itu berlaku. Mereka menunjukkan video rakaman kejadian tersebut yang memperlihatkan sekumpulan besar individu ditembak.
Beliau juga menyeru orang ramai untuk menghulurkan bantuan kepada mangsa-mangsa terlibat dengan kekejaman di Syria. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram