Adakah suami wajib sediakan pakaian raya untuk isteri? Ketahui penjelasan dari sudut pakar agama


  • Relaks
  • Jumaat, 04 Apr 2025

Pemberian baju raya dan duit raya kepada isteri menjelang raya dianggap sebagai hadiah.

MENJELANG sambutan Aidilfitri yang semakin hampir, ramai pasangan suami isteri mula membuat persiapan untuk meraikan hari kemenangan umat Islam itu. 

Dalam kesibukan membeli pakaian baharu, menyediakan juadah enak dan memberi duit raya, timbul persoalan mengenai tanggungjawab suami terhadap isterinya dalam menyediakan pakaian raya dan duit raya. 

Adakah ia satu kewajipan dalam Islam atau sekadar pilihan bagi suami untuk menunjukkan kasih sayang kepada isteri?

BACA LAGI: Pengamal 'childfree' bukan saja rugi di dunia malah akhirat — Pakar Agama

BACA LAGI: Influenza bukan selesema biasa, waspada kondisi anak-anak, risiko komplikasi serius

Pemberian baju raya daripada suami dianggap sebagai hadiah bukanlah kewajipan khusus.

Menurut Pensyarah Kanan Akademi Pengajian Islam Kontemporari Universiti Teknologi MARA, Dr Mohd Hapiz Mahaiyadin, suami wajib memberikan nafkah kepada isteri dan anak-anak serta sesiapa yang berada di bawah tanggungannya. 

Namun, pemberian hadiah seperti baju raya, duit raya atau barang kemas bukanlah satu kewajipan khusus yang mesti disediakan setiap kali tiba hari raya.

“Tiada halangan untuk seorang suami memberikan hadiah hari raya kepada isterinya sebagai tanda kasih sayang dan membina hubungan yang lebih erat dalam rumah tangga,” katanya kepada Majoriti.

Beliau turut merujuk kepada hadis yang menyatakan 'Tahaadu tahaabu' yang membawa maksud 'Berilah hadiah, kelak kalian akan semakin bertambah sayang.'

Hak isteri dalam permintaan persalinan raya

Dalam suasana hari raya, umat Islam disunatkan untuk bergembira dan berpakaian kemas. 

Jika suami memakai pakaian yang cantik, maka adalah dianjurkan untuk menyediakan pakaian yang sama untuk isteri dan anak-anaknya.

Sudah menjadi tradisi untuk masyarakat khususnya yang meraikan Hari Raya Aidilfitri membeli baju raya baharu bagi menyambut perayaan itu.

Dr Mohd Hapiz turut memetik sebuah hadis yang diriwayatkan oleh Abu Dawud iaitu Rasulullah SAW bersabda:

Suami hendaklah memberi makan kepada isterinya apabila dia makan, memberikan pakaian jika dia berpakaian, jangan memukul muka, jangan mencaci dan jangan memulaukannya kecuali di dalam rumah.” (HR Abu Dawud)

Berdasarkan hadis itu, penyediaan pakaian yang sesuai untuk isteri dan anak-anak menjelang hari raya adalah sebahagian daripada tanggungjawab suami terutamanya jika dia sendiri menyediakan pakaian baru untuk dirinya.

Suami perlu memastikan keperluan isteri dan anak-anak mencukupi.

Kadar nafkah isteri dalam setahun

Bagi perbelanjaan sepanjang tahun, Dr Mohd Hapiz menjelaskan bahawa pemberian nafkah kepada isteri tidak ditetapkan dalam tempoh tertentu seperti setahun, tetapi lebih bergantung kepada kadar keperluan dan kemampuan suami.

“Nafkah boleh diberikan setiap hari atau setiap minggu mengikut uruf masyarakat setempat serta tahap ekonomi suami. 

"Apa yang penting, suami perlu memastikan keperluan isteri dan anak-anak mencukupi, lebih-lebih lagi bagi mereka yang tinggal di bandar besar dengan kos sara hidup yang tinggi,” katanya.  — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di TwitterFacebook, InstagramWhatsApp Channel dan Telegram