
SUAMI kepada pelakon dan pengacara Kiah Propa, Mohamad Nazri Ismail menghembuskan nafas terakhir di Institut Kanser Negara (IKN) Putrajaya, pada pukul 6 pagi, Selasa.
Perkara tersebut dikongsikan oleh Kiah Propa atau nama sebenarnya Siti Rokhaida Abdul Khalil menerusi hantaran di laman Instagramnya.
Dalam video ringkas, beliau menulis, "Assalamualaikum, saya Kiah Propa ingin maklumkan suami saya Mohammad Nazri Ismail baru saja menghembuskan nafas terakhir pada pukul 6 pagi tadi di IKN, Putrajaya.
"Mohon doa semua yang melihat video ini semoga rohnya tenang dan dicucuri rahmat," katanya.
Beliau juga menzahirkan terima kasih kepada pihak yang banyak membantunya selama ini.
Difahamkan jenazah akan dibawa ke Masjid Saujana Utama sebelum dikebumikan di Saujana Utama, Sungai Buloh, Selangor.
Untuk rekod, Kiah dan Nazri berkahwin pada 2011, namun berpisah selepas beberapa tahun mendirikan mahligai cinta.
Pun demikian, Kiah Propa mengambil keputusan berkahwin semula dengan bekas suaminya, Mohamad Nazri pada 16 November 2024 selepas mengetahui bapa kepada dua anaknya itu disahkan menghidap kanser leher tahap empat.
Keputusan diambil bukan didorong oleh rasa kasihan, tetapi dek ihsan dan niat tulus untuk menjaga insan yang begitu istimewa di hatinya itu. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram