[VIDEO] Tersesat sebentar, pelajar lepasan SPM gigih berjalan solo 82 km demi kenangan terakhir bersama rakan sekelas


  • Relaks
  • Jumaat, 14 Feb 2025

Amirul Husin memilih untuk berjalan solo sejauh 82 kilometer untuk pergi perkhemahan bersama rakannya.

BERJALAN sendirian sejauh 82 kilometer mungkin kedengaran kerja tidak masuk akal bagi sesetengah orang tetapi tidak bagi Mohammad Amirul Husin Mohammad Zakir Husin.

Pelajar lepasan SPM itu sanggup menghadapi pelbagai rintangan demi menyertai perkemahan bersama rakan sekelasnya di Villa 82 Rening, Batang Kali, Selangor.

Perjalanan yang bermula pada hari Khamis pukul 7.20 pagi itu memakan masa hampir 16 jam, dengan berakhir pada Jumaat sekitar pukul 12.05 tengah hari.

“Saya rasa bumi ini terlalu besar, jadi kenapa tidak teroka? Manusia purba pun boleh berjalan jauh, kenapa saya tak boleh?" kata lelaki yang memiliki keazaman tinggi itu.

WhatsApp Image 2025-02-14 at 8.26.17 PM

Amirul bersama rakan sekelasnya yang mengikuti perkhemahan di Villa 82 Rening, Batang Kali, Selangor.

Walaupun perjalanan memakan masa lebih lama daripada yang dijangkakan, dengan banyak hentian rehat, ia tetap memberikan kepuasan yang tidak ternilai buat dirinya.

Amirul berkata, perjalanan itu merupakan perjalanan pertamanya yang melebihi 20 kilometer, namun semangatnya untuk meneruskan perjalanan itu tidak pernah goyah.

“Yang buat saya teruskan adalah interaksi dengan orang tempatan. Setiap pertemuan dan cerita mereka memberi saya semangat,” ujarnya.

Memilih untuk berjalan secara solo, Amirul berkata, beliau tidak mahu membebankan ibu bapa dan rakan-rakan sekiranya sesuatu yang tidak diingini berlaku.

“Saya tak mahu ada orang lain tercedera dan saya dipersalahkan. Jadinya itu yang saya memilih untuk berjalan secara solo,” jelas Amirul.

Namun, perjalanan solo itu tidaklah semudah yang disangka. Amirul sempat tersesat sebentar sewaktu berada di kawasan Bandar Tasik Puteri.

“Saya tersesat masuk ke Batu Arang. Saya pun tertanya-tanya, betul ke apa yang saya buat ni? Tapi alhamdulillah, saya sempat panggil Grab untuk keluar dari situ untuk bawa hingga ke Sungai Choh,” katanya.

Sokongan ibu bapa turut menjadi kekuatan buat Amirul meneruskan perjalanan itu.

Manakan tidak, dua hari sebelum perjalanan, ibu bapa beliau turut membawanya meninjau jalan yang bakal dilalui sebagai panduan agar perjalanan tersebut berjalan lancar.

"Mak Ayah beri sokongan bahkan dua hari sebelum perjalanan mereka bawa saya meninjau jalan yang bakal lalui," katanya.

Persediaan Amirul cukup teliti iaitu beliau membawa bersama enam pasang pakaian, kasut sukan dan beg galas yang penuh dengan barang keperluan.

Akhirnya, setelah 82 kilometer perjalanan, Amirul berjaya sampai ke tempat perkemahan dengan selamat dan berkumpul bersama 29 orang rakan sekelasnya yang menaiki bas. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram