Wildlife Corridor Brumas Run 'starter point' lonjak ekopelancongan Tawau


  • Hobi
  • Khamis, 28 Nov 2024

Wildlife Corridor Brumas Run kini menjadi acara tahunan bagi mempromosikan ekopelancongan di Tawau, Sabah.

KOMUNITI runner di Malaysia sudah boleh bersiap sedia dengan latihan intensif untuk merasai pengalaman berlari dalam hutan sambil 'ditemani' gajah menerusi acara larian anjuran Sabah Softwood Berhad (SSB) tahun depan.

Susulan kejayaan Wildlife Corridor Brumas Run 2024, SSB kini meletakkan sasaran yang lebih jauh untuk mendapatkan lebih banyak penyertaan sambil meneruskan usaha mempromosikan produk ekopelancongan yang semakin meningkat naik di Sabah.

Acara yang bermula pada 2023 itu pada awalnya diadakan secara tertutup sempena ulang tahun SSB ke-50 dengan jarak 7 kilometer (km) tetapi tahun ia diadakan secara terbuka kepada umum dengan melibatkan empat kategori termasuk jarak sejauh 21 kilometer.

Menariknya, walaupun kali pertama diadakan secara umum, Wildlife Corridor Brumas Run 2024 berjaya menarik seramai 900 peserta termasuk dari Kenya, Thailand dan Indonesia.

Antara kategori yang dipertandingan termasuk Terbuka Lelaki, Veteran Lelaki, Terbuka Wanita, Veteran Wanita yang melibatkan 209 peserta bagi jarak 21km manakala 690 peserta lagi bersaing untuk acara 7km.

Susulan sambutan hangat itu, SSB kini merancang untuk menjadikan acara tersebut sebagai aktiviti tahunan sebagai usaha mempromosikan Brumas sebagai kawasan ekopelancongan.

Brumas_2

Sebahagian perserta yang menyertai Wildlife Corridor Brumas Run 2024 pada awal November lalu. — Sabah Softwood Berhad

Pengurus Bahagian Kelestarian SSB, Mohd Hafizzul Samutu berkata, acara itu mampu memberi kesedaran dan pendedahan kepada masyarakat tentang hidupan liar yang ada kawasan perladangan SSB.

"Kawasan ini sesuai untuk (pelari) beginners kerana laluan lariannya yang luas dan sangat selesa terutamanya bagi mereka yang suka berlari di kawasan semula jadi," katanya sambil menambah bahawa acara itu selari dengan perancang SSB untuk membuka kawasan koridor kepada pelancong luar.

Hafizzul berkata, orang luar amat dialu-alukan untuk melawat kawasan Koridor Hidupan Liar Brumas dan pihaknya mempunyai fasiliti mencukupi serta aktiviti menarik buat pengunjung yang diuruskan oleh jabatan khas ekopelancongan.

"Kami mempunyai rest house, hostel dan chalet sebagai kediaman bagi mereka yang benar-benar minat dengan alam sekitar untuk tenangkan fikiran serta melihat hidupan liar seperti gajah Borneo yang hanya terdapat di Sabah selain berpeluang melihat orang utan, harimau bintang dan beruang madu.

"Untuk aktiviti lain, kita juga mempunyai lapangan golf dan tapak perkhemahan," katanya.

Berdasarkan lawatan media bersama Yayasan Pemuliharaan Hijau Minyak Sawit Malaysia (MPOGCF) baru-baru ini ke koridor tersebut, penulis kagum dengan fasiliti yang serba lengkap di kawasan tersebut walaupun terletak agak jauh ke dalam hutan.

Selain kemudahan asas seperti dinyatakan Hafizzul, kawasan Brumas itu seperti beroperasi sebagai sebuah pekan yang tersembunyi kerana memiliki fasiliti lain seperti stadium mini, dewan komuniti, sekolah dan kolam renang yang disediakan khas buat pekerjanya. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram