[VIDEO] 'Kita minta macam-macam, solat pun tak on time', pemuda insaf, rasa malu lihat lelaki OKU bersungguh mengesot dirikan perintah ALLAH


  • Tular
  • Selasa, 22 Okt 2024

Lelaki OKU yang dikenali sebagai Saad mengambil wuduk untuk mendirikan solat Maghrib.

WARGANET tersentuh melihat rakaman seorang lelaki yang diklasifikasikan sebagai Orang Kurang Upaya (OKU) berusaha bersungguh-sungguh untuk menjaga solat walaupun menghadapi cabaran fizikal.

Menerusi hantaran di laman TikTok, seorang pengguna, Jarir Harun memuat naik sebuah rakaman yang dianggap sebagai teguran daripada ALLAH.

"Ya ALLAH tiba-tiba abang rasa malu sangat dengan ALLAH. Kita ini minta macam-macam tetapi apabila solat, susahnya nak on time," katanya.

BACA LAGI: Pernah hampir lemas, jurufoto wanita bertahun-tahun elak laut angkara fobia sebelum kembali mencipta nama

BACA LAGI: [VIDEO] 'Sherpa bukan sekadar pandu arah, kami adalah perintis', Nima Rinji jadi individu termuda tawan 14 puncak tertinggi di dunia

Dalam rakaman terbabit, lelaki OKU terbabit yang dikenali sebagai Saad meminta pertolongan Jarir untuk memimpinnya ke tandas bagi mengambil air wuduk.

"Serius terkesima melihat cara Saad menyambut panggilan ALLAH. Tak lama selepas waktu Maghrib dia terus bergegas ambil wuduk," kata Jarir.

Difahamkan, ketika itu, lelaki berusia 41 tahun itu terpaksa mengesot untuk ke tandas kerana berasa kejang apabila terlalu lama berada di atas motosikal.

Jarir juga menyeru orang ramai untuk membantu Saad yang kebiasaannya menjual kerepek pisang tanduk di kawasan masjid, surau dan di hadapan bank Taman Melawati, Kuala Lumpur.

"Support sahaja dengan cara beli walaupun kita rasa tidak perlu barang yang dia jual itu.

"Sebab dia sedang berusaha dengan tenaga dia, bukan meminta-minta," katanya.

Menjengah ke ruangan komen, ramai warganet mengaku tersentak melihat rakaman video itu.

"Tersentak apabila melihat abang ini. Dia yang OKU pun datang sujud kepada Tuhan. Aku yang sempurna ini tak buat pun," tulis Arrai.

"Dia lebih sempurna dari kita kerana kita tak mampu ke surau dan masjid. ALLAH temukan aku dengan video ini bukan saja-saja tetapi ALLAH nak tegur dan jentik hati dengan cara halus. Terima kasih ALLAH," tulis Jejaka idaman.

"Ini Saad. Jiran di perumahan saya. Memang dari kecil dia berusaha sendiri dan rajin ke surau. Semoga Saad terus kuat dan sentiasa berada dalam lindungan ALLAH," kata Catteleyasanderian. Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram