
BERJALAN tanpa alas kaki di kawasan pantai berpasir atau rumput pasti terasa sesuatu yang hebat, bukan?
Ia bukan sahaja menyenangkan tetapi juga menyihatkan.
Ini kerana, pakar ortopedik, Dr Matthias Manke berkata, seseorang dapat melatih otot kaki apabila tidak memakai kasut.
"Otot pada tapak kaki anda sangat tegang. Ini penting kerana tidak melatih kaki akan menyebabkan terjadi atrofi otot," katanya.
BACA LAGI: Tak sempat pandu kereta hadiah anak, bapa maut lepas cabut 23 batang gigi di China
Berjalan di kawasan pantai berpasir memberi manfaat kepada kaki.
Lebih-lebih lagi apabila terdapat banyak hujung saraf bebas di kaki anda yang menghantar isyarat deria ke tubuh badan.
Tambahan pula, otot kaki yang lemah biasanya membawa kepada taji tumit, iaitu pertumbuhan tulang yang menyakitkan yang muncul apabila tulang tumit bercantum dengan plantar fascia.
Jadi, berkaki ayam boleh membantu dalam pencegahan perkara itu.
Atas sebab itu, Dr Manke berkata, kanak-kanak kecil sebaiknya berjalan-jalan tanpa kasut mahu pun sarung kaki bagi membolehkan kaki dapat berkembang secara semula jadi.
Walaupun berjalan tanpa alas kaki biasanya disyorkan untuk semua orang, terdapat beberapa pengecualian.
Salah satunya adalah untuk penghidap polineuropati iaitu seseorang yang mengalami kerosakan serentak pada banyak bahagian saraf periferi sehingga rasa di kaki menjadi berkurangan atau hilang.
"Risiko kecederaan adalah tinggi, kerana anda tidak merasakan kesakitan pada kaki anda," kata Dr Manke.
Pesakit kencing manis juga perlu berhati-hati.
Jika anda tidak biasa berjalan tanpa alas kaki, anda tidak sepatutnya menghabiskan masa seharian tanpa kasut.
Sebagai contoh, pada awal percubaan tidak menggunakan sebarang alas kaki, anda boleh berjalan ke kawasan rumput dan pantai berpasir.
"Anda harus mencuba secara beransur-ansur," katanya.
Sudah tentu, tidak perlulah sampai sama sekali tidak memakai kasut sepanjang hari.
Dr. Manke menyatakan bahawa dia tidak memakai selipar di rumah kerana dia percaya bahawa kaki memerlukan keseimbangan antara memakai kasut dan berkaki ayam.
Barefoot shoes lebih luas di bahagian jari kaki.
Terdapat juga penyelesaian lain iaitu menggunakan barefoot shoes.
Ia mempunyai tapak yang sangat nipis dan fleksibel, tiada tumit dan keluasan di bahagian jari kaki yang membolehkan seseorang berasa selesa untuk goyangkan jari kakinya.
Seperti yang dijelaskan oleh Dr Manke, selain melindungi kaki anda pada permukaan yang tidak rata, kasut barefoot shoes direka untuk meningkatkan gaya berjalan anda. — TheStar
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram