Budak hilang, didakwa kena pukau 2 jam sebelum ditemukan selamat dekat rumah nenek


  • Massa
  • Selasa, 06 Ogos 2024

Haura Shafiyyah sudah dijumpai selepas dilaporkan hilang sewaktu pulang daripada sekolah.

SEORANG kanak-kanak perempuan berusia sembilan tahun yang dilaporkan hilang selepas pulang dari sekolah ditemui selamat berhampiran kediaman neneknya dalam kejadian di Kuala Lumpur sekitar pukul 3.30 petang Selasa.

Bapa kanak-kanak itu yang enggan dikenali mengesahkan penemuan anaknya, Haurah Shafiyyah.

"Sekarang saya baru mahu jumpa pihak polis, anak saya dijumpai oleh pengawal keselamatan berhampiran rumah nenek dia," katanya kepada Majoriti.

BACA LAGI: Badan naik merah terkena sinaran UV walaupun sesaat, ketahui risiko penyakit Xeroderma Pigmentosum mengundang kanser

BACA LAGI: Kanak-kanak ada kolesterol tinggi berpotensi dapat penyakit jantung awal

Dalam pada itu, pakcik mangsa, Fyzal Bahrudin berkata, Haura ditinggalkan bersendirian di Jalan Ipoh sebelum memutuskan untuk menyelamatkan diri ke rumah neneknya.

"Apabila dia (Haura) tersedar, dia sudah ditinggalkan di Jalan Ipoh seorang diri. Nasib baik dia budak bijak, tahu jalan ke rumah nenek dia dan ada orang nampak budak ini nak lalu menyeberang jalan.

"Bila ada orang jumpa Haura tadi, dia cerita yang ada orang bawa dia masuk ke dalam kereta.

"Bunyi macam pukau. Aku percaya pukau ni wujud. Sebab dah ramai yang kena. Hanya kerana benda ini tidak terjadi kepada ahli keluarga awak, jangan ambik mudah atau tidak percaya benda ni," katanya.

Dalam pada itu, bapa mangsa mengakui bahawa masih lagi terkejut dan peristiwa itu menyebabkan anaknya trauma.

"Mestilah benda ini buatkan anak saya trauma," katanya. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram