'Tak kisah jari tercucuk jarum, janji dapat elak main gajet,' seni kait buat Azmawati terleka


  • Hobi
  • Ahad, 28 Jul 2024

Azmawati Ab Ghani mahu anak muda menggunakan masanya dengan hobi mengait krusye.

PADA zaman serba moden ini, pastinya orang ramai sering menghabiskan masa mereka dengan bermain gajet.

Bagaimanapun, ianya bukanlah sesuatu hal yang menyihatkan memandangkan ia juga mampu menyebabkan ketagihan yang melampau.

Apatah lagi, sering menghadap skrin telefon boleh memberi kesan kepada saraf mata ataupun bebola mata.

BACA LAGI: Tom and Jerry jadi inspirasi pelajar SMK Seksyen 24 Shah Alam cipta nama lukis potret sampai karya 'terbang' ke Jepun

BACA LAGI: Kempunan daki gunung tertinggi bersama rakan, mayat jurutera hilang 22 tahun ditemui dalam bentuk mumia

WhatsApp Image 2024-07-15 at 6.28.49 PM (1)

Azmawati Ab Ghani menghasilkan pelbagai aksesori daripada aktiviti mengait sewaktu masa lapang.

Mahu mengelak budaya tidak sihat, seorang wanita, Azmawati Ab Ghani sering meluangkan masanya dengan terlibat dalam ilmu mengait krusye.

"Daripada bermain gajet, rasanya lebih baik belajar mengait untuk isi masa lapang," katanya kepada Majoriti.

Malahan, Azmawati tidak kisah jika jari-jemari halusnya tercucuk jarum sewaktu menjahit zip yang terdapat pada krusye.

"Jari tercucuk masa jahit zip buat beg itu perkara biasa, bagi saya tidak serius pun," katanya.

Mengulas lanjut, anak jati Kuala Krai, Kelantan itu berkata, dia bermula berjinak-jinak dalam ilmu mengait sewaktu di alam persekolahan.

"Waktu itu saya umur 14 tahun, ada belajar mengait dalam subjek Kemahiran Hidup. Jadi sejak itu saya rasa best pula mengait," katanya.

Kini, wanita berusia 45 tahun itu gemar mengajar orang lain akan ilmu mengait tanpa mengira waktu dan pulangan.

"Kalau orang itu tak bayar pun tak mengapa. Saya suka beri ilmu kepada orang ramai. Kadang saya ajar secara percuma sahaja menerusi live di Facebook.

"Ada yang sudah berumur 60 tahun pun masuk kelas secara atas talian belajar dengan saya. Sebab sesetengah orang bosan apabila mereka sudah pencen," katanya.

Ini kerana, Azmawati beranggapan ilmu ini sangat penting untuk memberi bakat tambahan dalam diri seseorang.

"Krusye ini kalau kita sudah tahu cara mula untuk mengait, bolehlah menjual kerana sudah menjadi trend sejak dahulu," katanya.

Apatah lagi, pelbagai barangan unik yang diperbuat daripada hasil mengait menjadi kegemaran ramai.

"Saya sendiri apabila waktu lapang memang mengait krusye. Apabila kawan-kawan nampak mereka mahu membeli, jadi banyak barangan krusye yang saya pernah buat sudah terjual.

"Kadang kawan belikan sekali untuk adik-beradik mereka, sudah lebih 100 barangan krusye saya orang beli," katanya.

Antara jenis aksesori hasil krusye yang pernah direka adalah seperti beg tangan, bekas sarung botol air dan kain lap meja.

"Kalau saya pergi mana-mana senang, guna sahaja beg tangan hasil mengait sendiri," katanya.

Bertanya soal masa yang diperlukan untuk mengait, Azmawati berkata, ianya hanya memerlukan masa selama satu jam untuk siap.

"Biasanya memang satu jam sahaja boleh siap. Cumanya untuk pemula yang baru mahu mencuba jangan mudah menyerah," katanya.

Antara perkara yang selalu dititikberatkan sewaktu mengait sehingga menyebabkan ramai terpaku melihat hasil kerjanya adalah aspek kekemasan.

"Saya memang teliti dalam mengait, jadi apabila kita mengait itu sentiasa nak pastikan kemas," katanya. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram