MAYAT seorang pendaki ditemukan dalam bentuk mumia selepas hilang kira-kira 22 tahun lalu sewaktu cuba mendaki salah satu puncak tertinggi di Andes, Amerika Selatan.
Pendaki berkenaan, William Stampfl merupakan seorang jurutera awam bekerja secara sendiri yang melakukan aktiviti pendakian bersama rakannya, Matthew Richardson dan Steve Erskine.
Bagaimanapun, pada Jun 2002, terjadi runtuhan salji yang menimbus rombongan pendakian mereka di Gunung Huascaran, iaitu gunung yang memiliki ketinggian lebih 6,700 meter.
BACA LAGI: [VIDEO] Warisi bakat bapa, anak Black Wings lincah bermain dram di Aswara
BACA LAGI: Suka termenung cari ilham, tiru kartun dalam surat khabar jadi sumber rezeki Zameer Pentbrush
Polis membawa turun mayat yang dikenal pasti sebagai William Stampfl pada 5 Julai lepas.
Difahamkan, mayat Erskine ditemui sejurus selepas runtuhan salji, manakala mayat Richardson masih hilang.
Mumia Stampfl pula akhirnya muncul selepas dua dekad di banjaran Cordillera Blanca, Andes.
Berdasarkan imej dikongsi polis, mayat Stampfl yang masih dalam pakaian, harness dan kasut but terpelihara dengan baik disebabkan suhu sejuk.
Turut ditemui bersama adalah pasport Stampfl yang membolehkan polis mengenal pasti identitinya.
Kawasan pergunungan di timur laut Peru itu menempatkan puncak bersalji seperti Huascaran dan Cashan yang menjadi lokasi tumpuan pendaki dari seluruh dunia.
Pada Mei lalu, mayat pendaki Israel dijumpai hampir sebulan selepas kehilangannya. — Agensi
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram