UNIVERSITI Pendidikan Sultan Idris (UPSI) menganjurkan Malaysia Madani Robotic Challenge yang berlangsung di Dewan Harun Aminurrashid dan Dewan Ungku Omar, Kampus Sultan Azlan Shah, Tanjung Malim, Perak, baru-baru ini.
Pertandingan robotik ini melibatkan seramai 194 pasukan yang terdiri dari kalangan murid sekolah rendah, menengah dan mahasiswa institusi pengajian tinggi dari seluruh Malaysia.
Pengarah Program, Abdul Wafiy Kamarudin berkata, program ini dapat mengasah bakat pelajar menggunakan kreativiti serta pelbagai strategi untuk mereka membentuk dan membina robot.
Selain itu katanya, ia menggabungkan kepakaran dan inovasi pelajar, malah membolehkan pelajar membina pemikiran logik dan sistematik semasa peserta merancang pengaturcaraan robot tersebut.
Tambahnya lagi, ia merupakan salah satu program yang amat relevan dengan dunia masa kini dan bertujuan memberi penekanan terhadap aspek inovasi dan kreativiti dalam kalangan pelajar melalui pembelajaran berasaskan pengalaman yang menarik dan menyeronokkan.
Antara robotik yang bersaing dalam program MMRC24 di UPSI baru-baru ini.
Program MMRC24 ini juga melibatkan rakan kolaborasi UPSI dari beberapa syarikat robotik tempatan iaitu JAZRO Technology Robotics, Mechabotics Technology, Make X, DJI Malaysia, Creative Minds, World Of Robotics dan Petrosains.
Menurut Pengetua KHAR, Dr Che Anuar Che Abdullah, penglibatan pelajar yang terdiri daripada pelbagai jenis institusi pendidikan ini menggambarkan bahawa bidang teknologi, iaitu bidang robotik khususnya mempunyai daya tarikannya yang tersendiri dan mampu menjadi pendorong utama kejayaan dalam bidang teknologi negara.
“UPSI akan sentiasa menyokong dengan menyediakan fasiliti terbaik dalam menganjurkan program yang memberi galakan mahasiswa dan pelajar sekolah untuk kearah kecemerlangan.
"Pastinya pertandingan robotik tidak hanya melatih kemampuan teknologi sahaja malahan mendorong minat, kerjasama berpasukan dan keterampilan pelajar dalam robotik dan teknologi serta memberikan kesempatan kepada pelajar untuk mengaplikasikan pengetahuan mereka dalam situasi dunia nyata,” ujarnya.
Sebahagian peserta yang menyertai MMRC24 baru-baru ini.
Malaysia Madani Robotics Challenge 2024 mempertandingkan dua kejohanan iaitu Robot Track Mission dan Robotic Innovation.
SJKC Yun Can dan Kolej Tunku Kurshiah menjadi juara di Pertandingan Robot Track Mission manakala SMK Bentong dan IPG Sultan Mizan mendominasikan untuk pertandingan Robotic Innovation.
Pastinya, program ini boleh dijadikan medan ilmu di mana para pelajar untuk memperoleh banyak pengetahuan baru dan pengalaman yang bermakna sekali gus mengeratkan hubungan silaturahim antara satu sama lain. Diharapkan, acara ini akan terus diadakan setiap tahun untuk melahirkan dan memupuk generasi yang pintar dalam bidang robotik dalam kalangan pelajar dan mahasiswa. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram