SETIAP kali Ramadan menjelma, antara yang menjadi tumpuan adalah bazar Ramadan berikutan pelbagai jenis juadah berbuka puasa daripada tradisional hinggalah moden boleh didapati.
Di Malaysia, tidak kira warna kulit, agama dan kaum, semua orang akan mengunjungi bazar Ramadan untuk menikmati masakan dan hidangan yang dua kali ganda lebih menggiurkan berbanding bulan biasa.
Jadi, tidak hairanlah jika negara Malaysia dikenali sebagai syurga makanan bagi penduduk tempatan dan pelancong.
Terdapat banyak bazar Ramadan yang beroperasi di Selangor yang menyebabkan ramai keliru untuk memilih juadah berbuka puasa.
Dalam pada itu, Tourism Selangor menyenaraikan lapan pilihan bazar Ramadan terbaik pada 2024 yang sangat menarik dan unik untuk semua.
Bazar Ramadan Bandar Baru Selayang menjadi tumpuan penduduk Gombak.
1) Bazar Ramadan Bandar Baru Selayang, Gombak
Bazar Ramadan di Bandar Baru Selayang semestinya menjadi buruan penduduk yang tinggal di kawasan Gombak.
Bazar itu terletak bersebelahan dengan Stadium Majlis Perbandaran Selayang dan dibuka seawal pukul 3.00 petang sehingga pukul 8.00 malam.
Pelbagai juadah bulan puasa yang dicari setiap tahun dapat dibeli seperti ayam bakar, murtabak, tepung pelita dan putu bambu.
2) Bazar Ramadan Taman Langat Murni, Kuala Langat
Bazar Ramadan di Taman Langat Murni itu merupakan antara bazar yang menjadi tumpuan di Kuala Langat.
Bazar itu menawarkan harga yang berpatutan kepada pengunjung dengan pelbagai gerai yang boleh kita kunjungi.
Pelbagai juadah yang menarik dan unik yang boleh kita dapatkan seperti apam balik, mozarella corndog, nasi ambeng ayam kicap dan popia goreng.
Beroperasi pada pukul 3:30 petang, pasti anda tidak mahu melepaskan peluang untuk pergi ke bazar Ramadan ini!
3) Bazar Ramadan Kompleks PKNS, Shah Alam
Terletak bersebelahan dengan SACC Mall & Plaza Alam Sentral, bazar Ramadan itu adalah antara bazar yang paling ramai dikunjungi di Shah Alam seawal pukul 3 petang.
Setiap gerai menjual hidangan-hidangan yang mendapat permintaan ramai dan amat popular kerana keenakannya seperti nasi briyani lamb shank, nasi tomato, nasi kerabu, ayam percik dan pelbagai lagi!
Pengunjung boleh meletakkan kenderaan di bangunan Kompleks PKNS sendiri dan juga di SACC Mall.
Bazar Ramadan Taman Sri Andalas sudah lama bertapak di kawasan Klang.
4) Bazar Ramadan Taman Sri Andalas, Klang
Merupakan antara bazar Ramadan yang paling dinantikan oleh penduduk Klang, bazar Ramadan Taman Sri Andalas itu merupakan antara bazar yang telah lama bertapak di kawasan Klang setiap kali menjelangnya bulan Ramadan.
Ayam golek madu, nasi lemak dan pelbagai jenis kuih-muih juga terdapat di bazar Taman Sri Andalas.
Semestinya salah satu bazar yang boleh anda serbu untuk mendapatkan juadah yang enak untuk berbuka puasa!
Bazar Ramadan Perkarangan Stadium Shah Alam dikunjungi ramai meskipun dalam keadaan hujan.
5) Bazar Ramadan Perkarangan Stadium Shah Alam
Bazar Ramadan Stadium Shah Alam di Seksyen 13 itu merupakan antara bazar yang dikunjungi ramai, terutamanya untuk para pelajar dari MSU.
Terletak berdekatan dengan pasar raya Giant dan pusat membeli-belah AEON, bazar itumenawarkan harga yang sangat berpatutan kepada pengunjung yang hadir di bazar itu.
Pelbagai juadah menarik yang boleh anda jumpai seperti cendol, kuih donat pelbagai perisa, jus tembikai segar, dan kambing bakar. Bazar itu juga menawarkan makanan antarabangsa seperti sushi, mac and cheese dan nasi mandi dari Chef Ammar!
Bazar Ramadan USJ 4, Subang Jaya merupakan salah satu bazar yang memiliki banyak pilihan.
6) Bazar Ramadan USJ 4, Subang Jaya
Bazar Ramadan di USJ 4, Selangor itu semestinya menjadi buruan buat penduduk yang menetap di kawasan Subang.
Dibuka seawal pukul 3.00 petang, sebanyak 160 gerai di bazar itu menyediakan pelbagai juadah bulan puasa yang dicari setiap tahun, seperti roti john, nasi lemak dan mango ice cream float.
Terletak bersebelahan dengan SMK USJ 4, bazar Ramadan USJ 4 itu amat mudah dikenalpasti, memandangkan ianya mudah dilihat dari tepi jalan.
7) Bazar Ramadan Jalan SS6/1, Kelana Jaya
Bazar Ramadan di Seksyen 6, Kelana Jaya, Selangor itu merupakan antara bazar tumpuan terutamanya untuk para pelajar dari Universiti Malaya dan MAHSA.
Terletak di hadapan Jaya One, bazar itu menawarkan harga yang berpatutan kepada pengunjung dengan sebanyak 197 gerai terdapat di tempat berkenaan.
Pelbagai juadah unik di bazar itu seperti air kasturi asam boi, ayam percik dan karipap gergasi yang juga menawarkan makanan antarabangsa seperti ayam goreng korea, piza, sushi, dan pasta.
Bazar Ramadan Sungai Besar beroperasi di Sabak Bernam.
8) Bazar Ramadan Sungai Besar, Sabak Bernam.
Bazar Ramadan di Sungai Besar, Sabak Bernam, Selangor merupakan antara bazar paling popular di daerah itu.
Mereka menghimpunkan juadah berbuka puasa yang unik termasuk roti john, tepung pelita, kebab dan ayam panggang yang sangat terkenal sepanjang Ramadan.
Selain itu, anda juga boleh menikmati hidangan tradisional Jawa seperti nasi ambeng dan pecal.
Ia dibuka seawal pukul 3.00 petang hingga pukul 7.30 malam tetapi pengunjung disyorkan untuk tiba lebih awal kerana bazar itu antara bazar yang agak sesak dengan pengunjung sepanjang bulan Ramadan. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram