'Pakar bedah' telefon pintar menuntut ilmu sampai Bogor, tak menang tangan baiki 'motherboard'


Nur Danial Ahmad Kamal (kanan) bersama Pengarah Kolej Komuniti Ampang, Sazuan Nazleen Mohd Azam.

SEORANG lelaki yang mendapat jolokan 'pakar bedah' telefon pintar tidak menang tangan selepas mendapat permintaan ramai pelanggan dalam perniagaan membaiki telefon pintar yang dijalankan sejak 2015.

Lelaki tersebut, Nur Danial Ahmad Kamal yang juga pemilik kedai baiki telefon mempunyai kepakaran mengenai perisian dan perkakasan telefon pintar yang boleh disifatkan luar biasa.

Itulah yang menjadi faktor mengapa kedai perniagaannya, Profix Team berjaya mendapat lebih 3,500 buah telefon bimbit untuk dibaiki sepanjang menjalankan perniagaan selama 10 tahun.

Lebih menakjubkan, Nur Danial mampu mendapat perhatian dari pelbagai negeri di seluruh Malaysia yang datang ke kedainya semata-mata mahu memperbaiki motherboard telefon bimbit.

"Saya menerima pelanggan dari Jerantut, Pahang baru-baru ini sebab menurutnya, tiada orang yang pakar membaiki motherboard di kawasannya.

"Kalau ada pun kena tinggal telefon di kedai selama lebih kurang dalam seminggu," katanya kepada Majoriti.

Berbeza berbanding kedai yang lain, perniagaan miliknya kebiasaan cuma mengambil masa sekitar dua hingga tiga jam sahaja untuk membaiki sebuah telefon pintar.

BACA LAGI: Bukan setakat makan kurma, Tok Abah kongsi cara 'orang lama' dapatkan badan segar semasa berpuasa

Bijak menggunakan rangkaian yang ada, Nur Danial memperluaskan pemasarannya untuk memperoleh pelanggan menerusi laman TikTok, Instagram dan Facebook Ads.

Malah, lelaki berasal Rawang itu suka melibatkan diri dalam komuniti yang meminati bidang membaiki telefon pintar untuk berkongsi ilmu baharu dalam sesuatu perkara.

"Kita dalam hidup tidak boleh terlalu sombong sebab kadang-kadang ada perkara yang kita tak dapat selesaikan tapi pengalaman orang lain yang pernah mengalami masalah itu dapat selesaikan.

"Kes berkaitan kerosakan telefon berlainan, kalau kita banyak kawan kita boleh berkongsi ilmu sesama rakan," katanya.

Antara bahagian dalaman telefon pintar yang sering dibaiki adalah backglass, motherboard, battery, liquid crystal display screen (LCD) dan unit pemprosesan pusat (CPU) yang mengalami kerosakan.

"Contohnya macam IPhone 11 yang rosak pada bahagian motherboard. Biasanya kedai lain mengenakan harga sekitar RM900, tapi macam di kedai saya, harganya separuh daripada itu. Jadi pelanggan mampu untuk bayar," katanya.

Ketika ditanya mengenai kepakarannya dalam membaiki telefon pintar, Nur Danial mendedahkan merantau sejauh ke negara jiran selama sebulan demi ilmu dan kemahiran yang luas dalam bidang tersebut.

"Saya belajar untuk beroleh kepakaran dalam telefon dengan berguru di Bogor, Jakarta dan Bandung selama sebulan," katanya.

WhatsApp Image 2024-03-18 at 3.50.16 PM

Tidak terpengaruh dengan gaya hidup mewah, lelaki berusia 28 tahun itu memiliki perancangan kewangan yang bijak untuk meningkatkan perniagaan yang dijalankan.

"Saya bukan jenis orang yang ada duit lebih sikit guna untuk meningkatkan gaya hidup, tetapi saya akan gunakan duit itu untuk beli kelengkapan kedai yang memudahkan kerja-kerja dalam kedai dibuat," katanya

Setiap kejayaan pasti melalui rintangan hebat, Nur Danial Ahmad Kamal pernah mengalami kegagalan semasa Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) sehingga kedai pertamanya yang bertapak di Ampang tidak dapat beroperasi selama enam bulan dan terpaksa ditutup.

"Saya duduk di Rawang, nak pergi ke tempat kerja di Ampang kena lalui dalam empat hingga lima sekatan jalan raya sampaikan satu masa itu dalam enam bulan tak dapat beroperasi," katanya.

Ketika itu, dia terpaksa memajakkan emas dan mengeluarkan simpanan aset yang dimilikinya untuk menaikkan semula modal perniagaan.

"Selepas tutup perniagaan di Ampang saya pindah perniagaan ke Keramat sebelum membuka cawangan di Rawang," katanya.

Berpegang kepada ayat jangan mudah berputus asa, itulah yang menjadi semangat kebangkitannya dalam perniagaan telefon pintar sehingga kini mampu mencipta nama dalam perniagaannya.

Nur Danial turut berharap agar individu lain yang mahu bermula menceburi perniagaan membaiki telefon pintar supaya tidak mudah mengalah.

"Jangan pernah give up, teruskan belajar dan belajar untuk mahirkan diri, networking sangat penting dan juga komuniti," katanya. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram