
TIDAK perlu terbang jauh hingga ke China, hanya berkunjung ke Zoo Negara pun sudah boleh memuaskan hati masyarakat Malaysia untuk melihat panda.
Jika sebut sahaja tentang panda, pasti ramai boleh membayangkan gelagat comel haiwan unik yang mencuti hati itu.
Panda merupakan tanda istimewa dalam hubungan diplomatik antara Malaysia dan China.
BACA LAGI: Kerajaan berhasrat lanjutkan tempoh Xing Xing dan Liang Liang di Zoo Negara
Dua ekor panda yang masih berada di Zoo Negara. — The Star
Pada 2012, China bersetuju meminjamkan dua ekor panda kepada Malaysia dan diletakkan di bawah penjagaan Zoo Negara untuk tempoh 10 tahun.
Dua pasangan panda tersebut dinamakan Xing Xing dan Liang Liang itu juga pernah melahirkan dua anak iaitu Nuan Nuan (2015) dan Yi Yi (2018).
Cuma, kedua-dua anak panda itu perlu dihantar pulang ke China kerana mematuhi Perjanjian Projek Kerjasama Antarabangsa Konservasi Giant Panda yang ditandatangani yang mana menggariskan peraturan bahawa anak panda yang lahir di Malaysia perlu diserah kembali kepada China apabila berusia dua tahun.
Namun, terbaharu, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengumumkan untuk berbincang dengan kerajaan China berhubung lanjutan tempoh penempatan kedua-dua panda yang masih ada di Zoo Negara itu.
Kedua-duanya adalah Xing Xing dan Liang Liang yang turut menjadi salah satu faktor tarikan pengunjung ke zoo tersebut.
Panda tersebut juga diletakkan di bawah penjagaan Pusat Konservasi Panda Gergasi Zoo Negara yang mempunyai kelengkapan lengkap serta berbeza berbanding haiwan lain.
Rata-rata pengunjung gemar melihat haiwan tersebut kerana ia satu-satunya haiwan yang diletakkan di dalam kawasan tertutup dan dilengkapi pendingin hawa.
Tetapi, selain tarikan panda, pengunjung juga perlu tahu beberapa program atau aktiviti lain yang ditawarkan oleh Zoo Negara.
1) Pertunjukan haiwan
Pertunjukan haiwan antara aktiviti yang tidak boleh dilepaskan jika ke Zoo Negara.
BACA LAGI: 'Elsa sakit, bukan tak cukup makan', Zoo Melaka nafi biar haiwan kelaparan
Pertunjukan haiwan antara aktiviti menarik yang boleh disertai oleh para pengunjung terutamanya kanak-kanak.
Aktiviti itu juga dikenali sebagai Zoo Negara Show Amphitheatre yang menampilkan pelbagai persembahan daripada beberapa jenis haiwan termasuk singa laut, burung, domba dan banyak lagi.
Lebih menariknya, setiap haiwan yang terlibat dijamin tidak membahayakan penonton kerana kesemuanya dilatih oleh petugas bertauliah.
Walaupun aktiviti itu sudah dilaksanakan sejak lebih enam tahun lagi, namun, ia tetap menjadi tarikan menarik yang wajib disertai jika berkunjung di Zoo Negara.
Bukan itu sahaja, Zoo Negara juga mengamalkan konsep terbuka di kawasan pertunjukan itu sekali gus memudahkan petugas berinteraksi bersama penonton.
Selari dengan objektif pihak zoo, para petugas bukan sahaja bertanggungjawab mengawal pertunjukan malah, memberi pendidikan kepada pengunjung yang datang pada masa sama.
Berdasarkan laman web Zoo Negara, acara tersebut dibuka setiap hari pada pukul 11 pagi hingga 3 petang dan tutup pada hari Jumaat kecuali cuti umum.
2) Program sukarelawan
Antara aktiviti yang dilakukan oleh sukarelawan dalam program KeeperKu.
Jika anda seseorang yang gemarkan program khidmat masyarakat, program sukarelawan di Zoo Negara pastinya menepati cita rasa.
Selepas Covid-19, Zoo Negara dilihat melakukan pelbagai inisiatif dan usaha dalam membaik pulih semula ekonomi serta sistem penyelenggaraan haiwan.
Antara usaha yang dilakukan adalah dengan melaksanakan program sukarelawan melibatkan golongan muda seperti pelajar sekolah atau universiti.
Program yang dianjurkan di bawah Jabatan Pendidikan Zoo Negara itu juga bertujuan untuk memberi pengalaman dan pendidikan kepada para pelajar tentang penjagaan setiap haiwan itu.
Ketua Pegawainya, Junaidi Omar sebelum ini dilaporkan berkata, program yang diberi nama sebagai 'KeeperKu' sedikit sebanyak dapat membantu meringankan beban para petugas di Zoo berkenaan.
Menurut Junaidi, program seperti itu turut menawarkan sukarelawan bagi mendalami ilmu berkaitan cabaran yang dihadapi petugas terutamanya ketika menguruskan penjagaan haiwan liar.
Sedikit berbeza dengan aktiviti sebelumnya, program KeeperKu itu mengenakan bayaran sebanyak RM35 bertujuan sebagai sumber pendapatan Zoo Negara itu.
Ia juga dikatakan untuk menampung kos perbelanjaan haiwan namun, masih berbaloi kerana para sukarelawan diberi pelbagai akses lebih daripada pengunjung biasa.
Bagi siapa yang tertarik dengan program tersebut juga boleh mengisi borang penyertaan yang disediakan di laman web Zoo Negara.
3) Program perkhemahan
Pengunjung dapat merasai pengalaman bermalam di Zoo Negara. — Zoo Negara
Berkhemah merupakan salah satu aktiviti yang digemari ramai tidak mengira lapisan umur.
Selain berkhemah di kawasan hutan, pantai, gunung atau sungai, anda juga boleh melakukan aktiviti sama di Zoo Negara.
Menurut syarat yang ditetapkan oleh Zoo Negara, program perkhemahan perlu ditempah lebih awal dan memerlukan sekurang-kurangnya 50 orang.
Program yang berjalan selama dua hari satu malam itu turut menawarkan pelbagai aktiviti di waktu malam sekitar Zoo Negara.
Program itu juga sekali gus memberi peluang untuk para pengunjung yang terlibat mempelajari ilmu haiwan liar dengan lebih terperinci oleh petugas bertauliah.
Bagi program itu, harga yang dikenakan untuk setiap orang adalah sebanyak RM120 termasuk peralatan perkhemahan iaitu khemah, beg dan pakej makanan sepanjang bermalam di Zoo Negara. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram