PASANGAN penyanyi , Akim Ahmad dan Stacy Anam sekali lagi bergabung untuk menghasilkan lagu terbaharu berjudul Ritma dan Rima.
Kreatif dalam mencipta idea, lirik lagu itu ditulis sendiri oleh Stacy dengan memasukkan unsur alam sebagai fantasi yang menggambarkan sebuah percintaan sedang berputik.
"Macam dalam lirik lagu kami pun ada persoalan kepada alam, contohnya ayat lirik tanyakan sama pokok yang bergoyang, adakah dia suka?
"Lirik ini menunjukkan kita tanya okay ke tak walaupun pokok itu sendiri sebenarnya berbentuk statik sahaja," kata Stacy kepada Majoriti.
BACA LAGI: PKP pencetus inspirasi 'wanita jambu' raih RM10,000 sebulan
Gabungan pasangan suami isteri itu dalam lagu terbaharunya mendapat sambutan hangat daripada peminat yang menyokong karier mereka.
Memiliki keserasian bersama pasangannya, Stacy atau nama sebenar Ummu Shaikhah Stacy Anam mendedahkan mudah untuk memperoleh idea bagi mencipta lagu bersama suaminya itu memandangkan mereka berdua meminati muzik.
"Orang kata Akim dan Stacy bergabung meletup. Kedua-dua kami memang sukakan muzik, jadi kadang kami bayangan sesuatu sahaja, tapi boleh terhubung walaupun tanpa bercerita," katanya.
Membawa kelainan yang luar biasa, Stacy berkata, lagu itu memasukkan elemen romantik bagi menarik lebih ramai peminat yang sedang hanyut dalam alam percintaan.
"Lagu sebelum ini kebanyakannya memang genre Pop Rock, jadi yang lagu ini ada elemen romantik, memang patut dengar untuk orang dilamun cinta di luar sana," katanya.
Stacy yang dikenali sebagai ratu tari itu turut memasukkan elemen tarian bersama suaminya di dalam musik video lagu terbaharunya itu sehingga menerima sambutan hangat di media sosial.
Selain itu, penyanyi yang terkenal dengan vokal mantap itu turut meluahkan rasa rindunya untuk mengadakan konsert solo seperti konsert pertamanya yang dibuat pada Februari tahun lalu.
"Rasa teruja sebab itu pertama kali saya buat konsert solo, rasa tak cukup, sebab saya rasa boleh buat lebih lagi," kata Stacy.
Walaupun sibuk dengan pekerjaan hakiki itu, Stacy bersama suami, Akim atau nama sebenarnya Afiq Hakim Ahmad sentiasa membahagikan tugas untuk mengurus anak-anaknya dengan sama rata.
"Kerja sama-sama, urus anak pun bahagi sama rata, jadi rasa seronok sahaja urus anak itu," katanya. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram