RATA-RATA masyarakat semestinya mengidamkan wajah yang tampak muda meskipun telah menjangkau usia 40-an.
Sebenarnya, ada banyak tip awet muda yang boleh kita lakukan untuk pastikan kulit sentiasa kekal menawan.
Malah, banyak petua tradisional yang diamalkan oleh masyarakat terdahulu bagi memastikan wajah mereka kekal jelita dan tampan meskipun ketika itu belum ada jenama rawatan popular.
Kebanyakan masyarakat Melayu sememangnya suka makan ulam-ulaman untuk dijadikan hidangan tambahan bersama nasi.
Malah, sesetengah orang berasa janggal apabila tiada satu jenis ulaman disediakan dalam pemakanan harian.
Ulam dan daun herba yang mudah didapati adalah rahsia nak kekalkan awet muda.
Jadi, sangatlah rugi jika pemakanan terbaik seperti ini tidak dimanfaat dengan sebaiknya kepada masyarakat kini.
Lima jenis ulam yang boleh diamalkan untuk mengekalkan wajah awet muda:
Ulam raja baik untuk kulit kerana mampu membantu meremajakan kulit seseorang.
1. Ulam raja
Ulam raja antara ulam paling popular di kalangan kita.
Pokok ulam raja merupakan salah satu ulam yang paling popular di kalangan rakyat Malaysia.
Ulam raja turut dikenali dengan kenikir atau nama saitifiknya cosmos caudatus.
Ia adalah tumbuhan herba tropika yang berasal dari Amerika Latin dan dikatakan tumbuh meliar di negara lain seperti Florida, Amerika Syarikat, selain Malaysia.
Ulam raja boleh dimakan mentah bersama nasi dicicah dengan sambal belacan, budu, tempoyak atau cencalok.
Menurut kajian, ulam raja baik untuk kulit kerana mampu membantu meremajakan kulit seseorang.
Jantung pisang memiliki banyak manfaat terhadap organ dalaman tubuh badan.
2. Jantung pisang
Jantung pisang sememangnya tidak asing lagi bagi masyarakat Malaysia memandangkan ianya sering dijadikan sebagai ulam.
Bagi masyarakat Melayu, kebiasaannya pengambilan jantung pisang disediakan dengan cara dicelur terlebih dahulu dan dihidangkan bersama sambal belacan dan nasi putih.
Menurut kajian, jantung pisang sangat tinggi dengan serat yang dapat elakkan masalah sembelit.
Menurut kajian, terdapat banyak manfaat daripada jantung buah ini seperti ada sifat antioksidan, tinggi mineral, serat, protein, karbohidrat selain rendah dengan lemak dan kalori.
Malah, pakar perubatan menyatakan bahawa jantung pisang ini dipercayai mampu menurunkan kadar kolesterol dan glukosa yang merupakan faktor risiko penyakit jantung serta diabetes.
Hal ini kerana wujud sterol tumbuhan di dalam bahagian penting pada pisang ini yang memiliki implikasi antioksidan sekali gus bagus untuk menurunkan kolesterol dan glukosa.
Dalam pada itu, ia juga tinggi dengan quercetin, catechin serta serat yang mampu menurunkan risiko bagi pelbagai jenis penyakit berbahaya.
Kandungan flavonoid yang terdapat di dalam petai berfungsi sebagai agen antioksidan yang baik untuk kulit.
3. Petai
Tidak dinafikan, selain diambil dengan cara memasak, petai juga dimakan secara mentah oleh sesetengah penggemarnya.
Menurut kajian, masyarakat orang asli mempercayai dengan memakan petai dapat mengekalkan seseorang untuk tampak lebih muda.
Hal ini kerana, kandungan flavonoid dalam biji-biji petai berfungsi sebagai agen antioksidan yang baik untuk kulit bagi memastikan kesegaran tubuh.
Malah, petai kaya dengan antioksidan dan serat yang membantu seseorang yang memiliki masalah kencing tidak lawas.
Pegaga antara ulaman popular yang mampu mengekalkan awet muda.
4. Pegaga
Pegaga merupakan salah satu makanan yang sering dijadikan sebagai ulam atau masakan kerabu bagi masyarakat Melayu.
Pegaga atau nama saintifiknya Centella Asiatica dikatakan mampu merawat kerosakan kulit dan meningkatkan peredaran darah.
Selain itu, menurut kajian, pegaga juga dipercayai mampu menjadikan wajah seseorang lebih berseri dan segar.
Pegaga bukan hanya terkenal di Malaysia, malah herba berdaun hijau ini juga mudah disukai oleh penduduk di Jepun, India, China dan Indonesia.
Menurut kajian, pegaga semakin mendapat perhatian masyarakat Barat yang mula menyedari kebaikannya sehingga ia dikomersialkan menjadi produk kecantikan dan makanan tambahan.
Malah, fungsi pegaga turut diiktiraf oleh Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) sebagai herba yang diklasifikasikan sebagai satu spesies tumbuhan paling penting di dunia.
Daun kadut memiliki banyak manfaat bagi membantu meningkatkan kesihatan tubuh badan.
5. Kaduk
Daun kaduk sedap dijadikan sebagai ulam dengan cara direbus dan dicicah dengan sambal belacan.
Penanamannya sangat mudah kerana daun kaduk ini hidup subur terutamanya di kawasan yang lembap.
Sejak dahulu, daun kadut dipercayai merupakan salah satu rahsia bagi kaum ibu yang memiliki wajah menawan.
Kaduk mempunyai khasiatnya tersendiri terutamanya dalam bidang perubatan iaitu sesuai digunakan untuk mengubati sembelit, sakit gigi, demam malaria, kecacingan, lemah badan, batuk dan juga panau.
Cara penyediaan rawatan adalah dengan merebus daun kaduk dahulu sebelum diminum air rebusannya. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram