DETIK perjuangan demi negara dalam merangkul pingat emas acara kumite lelaki bawah 85 kilogram pada Sukan Asia di Hangzhou di China, Arif Afifuddin Ab Malik pastinya tidak dilupakan oleh rakyat Malaysia.
Kisah atlet berusia 24 tahun itu pernah tular kerana kesungguhan meneruskan bertarung dengan kecederaan mata kanan selepas mendapat tumbukan padu dari lawannya yang cuba membuat serangan balas ketika perlawanan berbaki 15 saat.
Arif meraih kejayaan itu selepas menewaskan atlet Kazakhstan, Daniyar Yuldashev 10-4 pada aksi final di Gimnasium Pusat Sukan Linping.
Arif merangkul pingat emas menerusi acara kumite lelaki bawah 85kg selepas menerima serangan hebat daripada atlet lawan.
Bagi seorang ahli sukan, kekuatan fizikal dan mental sangat penting bagi memastikan prestasi mereka kekal mantap dan konsisten.
Rutin pemakanan atlet seperti Arif amat penting untuk mendapatkan nutrisi tenaga dan pembakaran lemak serta kalori yang diperlukan.
Menurut Arif, dia mengikuti segala perancangan ditentukan oleh pakar nutrisinya termasuk pemakanan harian.
"Pakar nutrisi saya ada bagi beberapa suplemen untuk bantu percepatkan kesihatan tubuh, selain itu saya akur dengan jumlah makanan yang ditentukan," katanya.
Bagi terus kekal sihat dan cergas, Arif berkata, dia sering melakukan latihan secara berkala yang lebih berbanding ketika waktu latihan.
"Saya akan bangun pukul 5.30 pagi untuk persediaan ke latihan dan bagi mengekalkan berat badan ideal, saya akan buat extra training, jogging dan work out," katanya.
"Selepas bangun dan bersolat, saya akan buat persediaan latihan fisio, pukul 12 tengah hari rehat dan pukul 3 petang mula fisio lagi. Selepas itu, pukul 4 pula saya akan berlatih untuk sesi seterusnya," katanya. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram