BUKAN sesuatu hal yang pelik jika kita menemui orang yang toksik, sama ada di tempat kerja, lingkungan orang terdekat mahupun kedua-dua kumpulan tersebut.
Menurut Healthline, terdapat beberapa tanda utama orang toksik, termasuk mementingkan diri sendiri (egosentrisme), manipulasi, ketidakjujuran dan kecenderungan untuk mencipta drama atau konflik.
Istilah orang toksik merujuk kepada tingkah laku tidak bermoral seseorang atau hubungan toksik seperti racun.
Orang toksik perlu ditangani dengan sebaiknya bagi mengelak pengaruh negatifnya terjebak kepada seseorang yang berada di sekelilingnya.
Terdapat pelbagai cara berurusan dengan orang toksik seperti:
1. Menjauhkan diri dengan orang toksik
Berurusan dengan orang toksik boleh memenatkan anda. Orang yang toksik mungkin sentiasa mengadu tentang orang lain, sentiasa mempunyai cerita baru tentang layanan yang tidak adil, menuduh anda melakukan sesuatu yang salah atau tidak mengambil berat tentang keperluan mereka.
Tahan keinginan anda untuk membalas cerita mereka atau hanya mempertahankan diri anda daripada menuduh.
Malah, lebih baik jika membalas dengan ringkas, seperti 'Saya minta maaf jika anda berasa begitu' dan biarkan sahaja.
2. Tetapkan sempadan dengan orang toksik
Orang toksik cenderung menyebarkan cerita berunsur negatif ke mana sahaja mereka pergi. Adalah penting untuk menetapkan sempadan jika anda mendapati diri dikelilingi oleh orang toksik.
Dengan cara ini dapat mengelak seseorang daripada mengawal emosi anda. Untuk menetapkan sempadan ini, anda mesti tegas dan berkomunikasi dengan yakin tanpa menimbulkan tindak balas negatif daripada orang yang anda bercakap.
Sempadan ini juga akan membantu anda mengekalkan hubungan yang sihat.
Tidak salah untuk menyatakan 'tidak' apabila berurusan dengan orang toksik.
3. Berani berkata 'tidak'
Sesetengah orang mungkin sukar berkata tidak kerana memiliki rasa takut. Tetapi jika anda tidak melakukannya, terutamanya dengan orang toksik, ini boleh menimbulkan kekacauan kepada diri anda.
Ada kalanya orang toksik berusaha semampu mereka untuk membuat anda melakukan apa yang mereka mahu. Mereka tidak boleh menerima perkataan tidak daripada mulut orang lain.
Menurut Healthline, seseorang perlu menetapkan pendirian dan berlatih berkata tidak kepada golongan toksik. Semakin kerap anda melakukannya, semakin mudah anda berurusan dengan orang toksik kerana sudah terbiasa. Dengan sentiasa mengatakan tidak, orang toksik akhirnya akan menyedari bahawa anda tidak menyukai tingkah laku mereka.
4. Perhatikan bagaimana mereka membuat anda berasa kecil hati
Tindakan yang diperlukan untuk mengendalikan hubungan bersama orang toksik adalah dengan menyedari tentang tingkah laku mereka supaya anda berkemahiran untuk mengawal keadaan.
Namun, kadangkala, seseorang berkata kasar atau tidak sopan secara tidak sengaja. Hal ini kerana, seseorang mungkin memiliki hari yang kurang baik yang mendorong mood berubah sehingga membawa kepada tingkah laku agresif. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram